Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin progresif PAS yang disingkirkan merancang untuk menubuhkan parti baru jika kepimpinan parti yang baru bersikap lebih pendiam dan tertutup dan mereka mahu NGO PasMa menyerahkan urusan penubuhan parti itu kepada kumpulan profesional.

Kumpulan progresif yang dinamakan sebagai G18 mendakwa bahawa PasMa tidak mempunyai daya tarikan yang cukup dengan akar umbi untuk memimpin sebuah parti baru.

"Saya tidak kata (PasMa) tidak baik... tetapi secara realistiknya sejumlah ahli PAS masih sangsi mengenai PasMa.

"(Presiden PasMa) Phahrolrazi Mohd Zawawi adalah seorang lelaki yang baik tetapi bagi mereka (akar umbi) dia seorang pengacau dalam kemelut Kedah itu," kata bekas ahli jawatankuasa pusat Hanipa Maidin kepada Malaysiakini .

Beliau merujuk kepada peranan Phahrolrazi di Kedah dalam krisis menteri besar yang bermula pada 2011 apabila bekas timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu didakwa cuba menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Hanipa juga berkata sikap tidak percaya anggota PAS terhadap PasMa mungkin disebabkan ahli tidak memahami matlamat asal NGO itu yang menurutnya untuk mengisi kekosongan sama ada PAS perlu ditendang keluar atau jika ia memutuskan untuk keluar Pakatan Rakyat.

Tetapi adakah puak progresif mempunyai daya tarikan yang lebih daripada PasMa? MP Shah Alam Khalid Samad memikirkan demikian.

"Dari sudut reputasi dan trek rekod dalam lapangan politik, saya percaya kami ada lebih (tarikan) daripada apa yang ditawarkan PasMa," katanya kepada Malaysiakini.

"Setakat yang saya faham, PasMa mahu kekal sebagai NGO, maka mereka perlu berbuat demikian dan jangan terlibat menubuhkan parti politik. [...] Jika ada usaha buat parti baru, bilahlah kami yang buat.

"Saya rasa apa yang mereka sedang lakukan ialah cuba meningkatkan kesedaran mengenai parti baru, mereka akan menyokong penubuhan parti baru tetapi mereka tidak akan melakukannya sendiri," katanya.

PasMa bincang G18

Hanipa dan Khalid merasakan adalah lebih baik bagi PasMa untuk menyertai parti baru.

Pasma ditubuhkan pada Ogos tahun lalu ekoran keretakan mula berlaku dalam Pakatan ekoran krisis menteri besar Selangor.

Selepas DAP mengisytiharkan Pakatan telah 'berkubur' minggu lepas, NGO itu mendedahkan bahawa ia akan menubuhkan sebuah parti baru yang akan menjadi sebahagian daripada pakatan baru dengan DAP.

PasMa berkata ia sudah membincangkan perkara itu dengan G18, tetapi Khalid memberitahu Malaysiakini bahawa kumpulan progresif telah menyatakan dengan cukup jelas pendirian mereka.

Bagi Phahrolrazi, PasMa akan terlibat dalam menubuhkan parti baru bersama dengan G18.

"Pihak-pihak yang akan tubuh parti baru itu sebenarnya lebih kepada kumpulan yang kita buat sekarang.

"PasMa terlibat, bekas pemimpin progresif terlibat, dan beberapa NGO. Ia adalah satu usaha sama," katanya kepada Malaysiakini .

Phahrolrazi merancang untuk membuat pengumuman mengenai penubuhan parti baru itu selepas Hari Raya Aidilfitri.

Manakala G18 telah memberikan tempoh 100 kepada kepimpinan baru PAS dari tarikh muktamar, untuk 'berubah' atau berdepan dengan kuasa baru.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS