Olimpik: Jamaica kongsi kepakaran
Hasrat Malaysia untuk melahirkan juara Olimpik menerima dorongan kuat Jamaica yang menawarkan diri untuk berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam bidang pendidikan dan pembangunan sukan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu dibangkitkan dalam perbincangan antara beliau dan Menteri Pendidikan Jamaica Reverend Ronald Thwaites.
"Kami menyambut baik tawaran ini kerana walaupun Jamaica sebuah negara kecil di Caribbean, ia telah melahirkan banyak juara olimpik terkemuka seperti pelari pecut Usain Bolt dan ramai lagi dalam bidang olahraga contohnya," katanya selepas perjumpaan dua hala itu yang diadakan di luar Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Komanwel ke-19 (19CCEM).
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata Malaysia berminat untuk mempelajari lebih banyak mengenai sistem pendidikan sukan di sekolah-sekolah di Jamaica.
"Melalui persefahaman dengan Jamaica ini, kita mungkin boleh belajar daripada mereka tentang bagaimana mereka mampu melahirkan jaguh-jaguh sukan antarabangsa yang hebat," kata Muhyiddin yang kemudian menghadiri perasmian persidangan itu di pusat persidangan Resort Atlantis, di Paradise Island.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan mengambil beberapa langkah untuk membentuk atlet muda Malaysia yang kelak akan banyak membantu usaha Kementerian Belia dan Sukan melahirkan atlet cemerlang negara.
Muhyiddin berkata meskipun tiada rangka kerjasama rasmi antara kedua-dua negara, menteri Jamaica itu telah menyatakan minat beliau untuk menjalin hubungan dengan Malaysia dalam bidang seperti pendidikan tinggi, pendidikan teknikal dan vokasional serta latihan (TVET) dan program Sains, Teknokogi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Mereka juga berminat untuk mengetahui lebih dekat tentang bagaimana kita melaksanakan program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah-sekolah," katanya.
Dalam perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Bahamas, Philip E Brave Davis, Muhyiddin berkata beliau mencadangkan penubuhan rangka kerja yang lebih formal untuk hubungan dua hala dalam bentuk perjanjian ekonomi dan perdagangan.
- Bernama

