'Sarawak for Sarawakians tidak menghasut'
Polis tidak akan mengambil tindakan terhadap individu yang menampal pelekat "Sarawak for Sarawakians" pada kereta dan motosikal mereka kerana ia tidak dianggap suatu perbuatan menghasut.
Ketua Polis daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad bagaimanapun berkata anggota polis perlu mengelak daripada menampal pelekat itu pada kenderaaan masing-masing atau kenderaan jabatan.
"Sebagai penjawat awam, anda perlu dilihat berkecuali bagi membolehkan anda menjalankan tugas dengan lancar dan penuh berintegriti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima 1,000 bungkusan bubur lambuk yang dimasak dan disumbangkan anggota Persatuan Jurufoto Akhbar Sarawak (SPPA) untuk diagihkan kepada anggota pasukan polis, bomba dan pertahanan awam.
Pelekat itu banyak ditampal pada kenderaan persendirian di Kuching.
Roslan bagaimanapun berkata polis akan mengambil tindakan sekiranya pelekat yang digunakan mempunyai mesej melampau seperti "Let Us Pull Out From Malaysia" atau "Let Us Overthrow The Government".
Dalam perkembangan berasingan, Roslan menggesa peminat bola sepak tempatan supaya tidak bertindak liar setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak Liga Super di stadium negeri di sini, yang melibatkan pasukan dari semenanjung.
"Sekarang, apabila ada perlawanan seperti itu, kami perlu menghantar banyak anggota ke sana untuk menjamin keselamatan.
"Ini hanya membazirkan tenaga, sedangkan kami sepatutnya mengerah mereka untuk menjalankan tugas pencegahan jenayah yang lebih penting," katanya.
- Bernama

