Pemuda DAP membuat laporan polis terhadap 50 ahli Umno yang didakwanya membakar bendera parti itu di Komtar semalam.

 

Kumpulan itu mengadakan protes membantah tindakan meroboh struktur logo Umno di Menara Umno di Jalan Macalister pada hari Jumaat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Ahli MBPP mempertahankan tindakan pekerja majlis itu dengan mengatakan Umno gagal mendapatkan kelulusan sebelum mendirikan logo itu di hadapan Menara Umno itu.

 

Timbalan Setiausaha Pemuda DAP negeri, Satees Muniandy (gambar) mendakwa peserta protes itu telah melakukan satu "ancaman jenayah" terhadap DAP.

 

Beliau mendakwa kumpulan itu mengugut mereka dengan api apabila mereka membakar bendera DAP, dan menurutnya tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah seksyen 503 Kanun Keseksaan.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Timur Laut di Jalan Pattani.

 

"Dalam kejadian di Komtar semalam, ahli Umno juga terlibat dalam pembakaran terbuka di kawasan awam, yang menimbulkan bahaya kepada orang ramai. Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan," katanya.

 

Satees mendakwa ahli Umno itu bertindak "agresif" apabila membakar bendera itu, dan mengganggu ketenteraman awam.

Ini juga satu kesalahan di bawah seksyen 285 Kanun Keseksaan, katanya.

 

Turut mengiringi Satees ialah ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang Chris Lee dan Syerleena Abdul Rashid.

 

Satees menggesa pihak polis menyiasat dan menangkap "peserta protes yang agresif" kerana mereka telah melakukan beberapa kesalahan.

[Baca berita penuh/asal]