Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Umno tidak bertanggungjawab memadamkan lampu untuk menerangi potret Tun Dr Mahathir Mohamad di bangunan ibu pejabatnya.

Katanya, Umno tidak akan bertindak “bodoh” seperti itu dan percaya isu tersebut hanya satu “putar belit” oleh media tertentu.

“Takkanlah kita hendak buat benda macam itu. Ini bodoh, tidak masuk akal.

“Ini sengaja dimainkan oleh media tertentu, seperti mana kenyataan pengerusi MARA diputar belit,” kata menteri belia dan sukan itu dalam sidang media di kementeriannya.

Khairy berkata demikian apabila ditanya mengenai potret tujuh orang presiden Umno yang diterangi lampu, kecuali potret Mahathir

Gambar itu tersebar luas di kalangan pengguna media sosial pada malam tadi, dan menimbulkan persoalan sama ada lampu itu sengaja dipadamkan.

Persoalan itu timbul memandangkan Mahathir kini lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenyataan Khairy berkenaan pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa itu pula merujuk kepada laporan Malaysiakini semalam berhubung kontroversi pembelian hartanah agensi tersebut di Melbourne.

Laporan awal Malaysiakini semalam menyebut, Annuar mengesahkan bahawa Najib meluluskan pembelian melibatkan pembelian apartmen dengan bayaran lebih sebanyak RM13.7 juta.

Najib pada petang semalam mengeluarkan kenyataan bahawa kenyataan Annuar itu diputar belit.