Ruangan 'Yoursay' di Malaysiakini merupakan artikel yang diolah daripada himpunan pandangan dan komen pembaca berhubung isu berkepentingan awam.
Bagaimanapun, ada kalanya pandangan pembaca di Yoursay boleh menjadi sangat kontroversi sehinggakan terdapat pihak yang tersinggung dengan komen di kolum itu.
Ini termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyaman Malaysiakini berhubung dua ruangan Yoursay mengenai krisis Menteri Besar Terengganu tahun lalu.
Pada awal minggu ini pula, seorang individu yang menggunakan nama samaran 'Rakyat Malaysia' melancarkan petisyen dalam talian dengan tajuk "Malaysia menentang Islamophobia Malaysiakini" berhubung ruangan Yoursay.
Individu tersebut merujuk kepada artikel Yoursay bertajuk 'Having sex on camel needs gymnastic skills, no? (Melakukan seks di atas unta perlukan kemahiran gimnastik, bukan?)'.
Beliau mendakwa, artikel tersebut merupakan satu usaha mempersendakan Islam di negara ini dan tidak mencerminkan pandangan majoriti.
Individu itu juga mendakwa bercakap bagi pihak masyarakat Islam di Malaysia.
Komen yang dikumpulkan dalam ruangan Yoursay pada 16 Jun itu merupakan pandangan terhadap laporan berita yang memetik satu kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini.
Harussani dilaporkan sebagai berkata, wanita Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam sukan gimnastik kerana peserta perlu memakai pakaian yang sangat ketat.
"Jika mahu juga menyertainya (sukan gimnastik), gimnas berkenaan perlu mencari serta memakai pakaian yang menutup aurat dan sekali gus mungkin tidak sesuai dengan sukan berkenaan," katanya seperti dilapor oleh Astro Awani .
Harussani berkata demikian sebagai mengulas kritikan terhadap pemenang pingat emas Sukan SEA, Farah Ann Abdul Hadi yang memakai pakaian tidak menutup aurat seperti dikehendaki Islam.
Tajuk utama bagi ruangan Yoursay yang digunakan Malaysiakini itu berdasarkan salah satu komen pembaca terpilih berhubung satu lagi kenyataan Harussani – mengenai tanggungjawab isteri untuk memenuhi kehendak seks suami.
Harussani dilaporkan memberi contoh bahawa seorang isteri perlu memenuhi kehendak seks suaminya walaupun ketika sedang menunggang unta.
Komen lain yang terpilih untuk memasuki ruangan Yoursay turut mengkritik Harussani kerana mengatakan bahawa pemain bola sepak perlu memakai seluar pendek yang menutup lutut.
Menurut pembaca ini, niat para atlet ketika memakai pakaian seperti itu perlu diambil kira.
"Dalam kes Farah, dia memakai pakaian yang sesuai untuk sukan tersebut. Niat dia bukan untuk menunjuk mana-mana bahagian badan dia," kata seorang pembaca Malaysiakini yang menggunakan nama 'Azhar'.
Sehubungan itu, komen-komen yang ada di dalam artikel Yoursay tersebut hanyalah mengkritik Harussani dan tidak bertujuan untuk menghina Islam seperti yang didakwa oleh 'Rakyat Malaysia'.
Bagaimanapun, Malaysiakini ingin memohon maaf sekiranya terdapat komen di ruangan Yoursay yang menyinggung perasaan.
