'Kes sabotaj ekonomi perlu hukuman lebih berat'
Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes penyebaran maklumat palsu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh bekas kakitangan PetroSaudi International (PSI) yang ditahan di Thailand pada Rabu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tindakan bekas eksekutif warganegara Switzerland itu telah menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan kerana masyarakat beranggapan apa yang disiarkan dalam Internet adalah benar.
"Perkara ini telah menimbulkan keresahan begitu mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia dan telah membentuk pandangan negatif dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Beliau berkata, PSI sendiri juga telah memohon maaf kepada rakyat negara ini atas perbuatan bekas pegawainya, yang pada asalnya bertujuan untuk memeras ugut syarikat itu.
Semalam akhbar melaporkan Polis Thailand menahan lelaki itu dan mendakwanya atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab Saudi yang terkenal di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin dengan syarikat 1MDB.
Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report , sebuah blog bermotifkan politik, hingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata pembentangan Rang Undang-undang Komunikasi dan Multimedia Pindaan 2015, pada Oktober ini, akan merangkumi hukuman yang lebih berat ke atas individu yang menyalahgunakan media sosial.
Katanya akta sedia ada agak terhad untuk digunakan bagi kesalahan-kesalahan tertentu dalam dunia siber, terutamanya berkaitan penyebaran maklumat dalam media sosial.
"Jika sebelum ini pesalah laku media sosial akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000, namun dengan pindaan baharu itu, beberapa hukuman yang lebih berat akan dikenakan bergantung kepada kesalahan.
"Contohnya seseorang yang menyebarkan perkara dengan niat mensabotaj ekonomi negara menerusi media sosial perlu dikenakan denda dan hukuman lebih berat," katanya.
Beliau berkata akta baharu itu juga akan merangkumi peruntukan untuk pelbagai kesalahan termasuk penyebaran gambar lucah kanak-kanak dalam media sosial.
- Bernama

