Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengerusi MARA serah dokumen pada SPRM
Diterbitkan:  Jun 26, 2015 3:47 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa hari ini menyerahkan beberapa dokumen berkaitan pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh anak syarikatnya Mara Incorporated Sdn Bhd kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang hadir di Ibu Pejabat SPRM pada jam 12.10 tengah hari, menyerahkan dokumen itu kepada Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah, bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Kita minta supaya perkara ini diberi keutamaan dan disegerakan serta memaklumkan bahawa Mara ingin memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM," katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu.

Annuar berkata MARA juga akan melantik juruaudit dari luar negara sebagai tambahan kepada audit dalaman yang sedang dijalankan serta siasatan oleh SPRM.

"Audit dalaman tidak memadai...walaupun SPRM menjalankan tugas mengikut kaedah dan peraturan tertentu tetapi dari segi kita, kita mesti melihat juga audit pengurusan untuk diperkemaskan pada masa akan datang," jelasnya.

Ditanya sama ada pihaknya sudah mengenal pasti dalang di sebalik kes itu, Annuar hanya berkata: "more or less".

Berkenaan tindakan yang akan dikenakan kepada pegawai yang disyaki terlibat, beliau berkata ia tertakluk kepada kuasa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis MARA pada 1 Julai ini.

Mengulas mengenai kenyataannya berhubung kelulusan pembelian hartanah di Melbourne itu yang diputar belit oleh sesetengah media, Annuar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meluluskan pembelian itu pada 10 Mei.

"Kemudian MARA dan kementerian membawa rayuan kepada Majlis Ekonomi untuk dibincangkan kerana ia melibatkan pinjaman luar negara dan (Majlis Ekonomi) luluskan hanya 30 peratus dana MARA digunakan untuk pembelian itu. Bakinya dipinjam daripada bank luar negara," jelasnya.

Dua hari lepas, Najib meluahkan kekecewaannya apabila kenyataan Annuar berhubung pembelian hartanah di Melbourne itu diputar belit oleh sesetengah media sambil menjelaskan keputusan mengenai pembelian hartanah itu dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

Najib berkata sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Sementara itu, menerusi kenyataan hari ini, Mohd Jamidan memaklumkan telah menghantar pegawainya ke Melbourne untuk mendapatkan dokumen dan maklumat yang boleh membantu siasatan.

"SPRM telah memanggil beberapa individu dan akan memanggil lagi individu lain yang ada kaitan dengan isu ini untuk diambil keterangan. Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ada maklumat dan bukti boleh juga menyalurkan kepada SPRM," katanya.

Terdahulu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) melalui Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris turut membuat laporan kepada SPRM supaya siasatan menyeluruh dibuat terhadap kes itu demi kepentingan MARA sebagai institusi yang banyak berjasa kepada golongan bumiputera.

Akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan yang dikenali 'Dudley International House', daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh MARA yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar MARA di Monash University.

- Bernama

Lihat Komen
ADS