Mahkamah Agung Amerika Syarikat membuat satu keputusan bersejarah mengenai perkahwinan sesama sejenis hari ini, dengan berkata pasangan gay dan lesbian mempunyai hak berperlembagaan untuk berkahwin di semua 50 negeri di negara itu.
Dalam keputusan 5-4, mahkamah tertinggi di Amerika Syarikat itu memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan, negeri-negeri tidak boleh melarang perkahwinan sesama sejenis.
Ia juga memutuskan bahawa negeri-negeri mesti mengiktiraf lesen perkahwinan yang dikeluarkan secara sah kepada gay dan lesbian oleh negeri-negeri lain.
Dua persoalan, yang dihujahkan pada bulan April, dibawa oleh pasangan gay dan lesbian di negeri Kentucky, Ohio, Tennessee, dan Michigan, yang berhujah berkenaan pengharaman negeri-negeri terhadap perkahwinan sesama sejenis atau larangan mengiktiraf lesen perkahwinan yang dikeluarkan kepada pasangan gay dan lesbian oleh negeri-negeri lain.
Perkahwinan di Amerika Syarikat dikawal selia di peringkat negeri.
Tiga puluh enam daripada 50 negeri membenarkan lesen perkahwinan dikeluarkan kepada pasangan sesama jantina; manakala 14 negeri lagi mengharamkan perkahwinan gay sama ada melalui perundangan atau referendum.
