Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Umno dan DAP sama-sama bersalah dalam kejadian pembakaran bendera parti di Pulau Pinang baru-baru ini.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, ahli Umno membakar bendera DAP kerana sebelum itu ada kejadian yang memprovokasi mereka.

"Ada sebab mengapa mereka membakar bendera (DAP)," katanya kepada media di pusat beli-belah Aeon AU2 di Setiawangsa hari ini.

Walaupun tidak membuat penjelasan lanjut mengenainya, difahamkan Tengku Adnan merujuk kepada tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang merobohkan struktur logo Umno di Bangunan Menara Pulau Pinang di  Jalan Macalister, George Town 19 Jun lalu.

"Sebenarnya dua-dua pihak pun salah. Kita dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, nasihatkanlah. Kita amalkanlah konsep bersatu di dalam segala kepelbagaian," kata Tengku Adnan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, semua pihak perlu saling memahami sensitiviti satu sama lain.

Sementara itu, beliau berkata, selepas mendapat laporan mengenai kejadian di Pulau Pinang itu Lembaga Disiplin Umno mengadakan perbincangan mengenainya.

Apabila diteliti, katanya, mereka mendapati ada sebab ternetu yang mencetuskan pembakaran itu dan kes berkenaan sudah ditutup.

"Dulu pun bendera kita (Umno) dibakar pihak pembangkang, dipijak. Macam-macamlah, nak sebut bulan puasa ni tak sedap," katanya.