Selepas dua kali mengerjakan solat di Masjid Jamek Kampung Baru Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau dapat melihat dengan jelas perbezaan keadaan di situ dengan tahap keselesaan bertambah baik dan ruang lebih luas.

Bercakap kepada media selepas mengedarkan bubur lambuk di situ hari ini, perdana menteri berkata jemaah yang datang juga nampak begitu berpuas hati dengan pembangunan semula masjid berkenaan.

"Ia dilengkapi dewan dan pelbagai kemudahan lain dan ruang solat juga akan dipasang alat penyaman udara," katanya.

Semalam Najib menyatakan rasa kesalnya terhadap sesetengah pihak yang memburuk-burukkan 1MDB walaupun syarikat itu memberikan sumbangan kepada pembangunan Islam.

Masjid Jamek Kampung Baru itu menjadi rujukan kenyataan beliau kerana sebahagian daripada kos pembangunan semulanya - yang berjumlah RM20 juta - dibiayai Yayasan 1MDB.

Kenyataan itu bagaimanapun dikritik Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hari inii.

Najib berkata, beliau berharap masjid berkenaan akan menjadi mercu tanda untuk Kampung Baru yang terletak di tengah Kuala Lumpur.

"Hasrat saya Masjid Kamek Kampung Baru ni menjadi satu mercu tanda dalam konteks pembangunan semula Kampung Baru yang sedang kita rancang," katanya.