Tanah runtuh musnahkan 6 rumah setinggan
Enam buah rumah setinggan musnah dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Tahana, Jalan Padu, Larkin di Johor Bahru tengah malam tadi membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah (I) Johor Baharu Selatan Supt Abdul Wahib Musa berkata, kejadian pada 12.30 tengah malam itu melibatkan 24 mangsa warga Indonesia, terdiri daripada 11 lelaki, sembilan wanita dan empat kanak-kanak.
Bagaimanapun, kesemua mereka terselamat dalam kejadian yang berlaku di kawasan tapak pembinaan yang dipercayai untuk dijadikan kedai dan restoran bersebelahan kampung berkenaan, katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian awal pagi ini.
"Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan kerugian dianggarkan sebanyak RM30,000 melibatkan enam buah rumah dan tiga buah motosikal yang tertimbus," katanya.
Abdul Wahib, yang turut diiringi Timbalan Ketua Polis Daerah (II) Johor Baharu Selatan Supt Mohd Nadzir Gulam Kadir, berkata ketika kejadian, lima rumahberpenghuni manakala satu tiada penghuni.
Buat sementara waktu, kesemua mangsa dipercayai tinggal dan mendapat perlindungan bersama saudara terdekat, katanya.
Menurut Abdul Wahid pihaknya akan menghubungi pejabat tanah pagi ini bagi memastikan tindakan selanjutnya diambil, selain meminta Syarikat Air Johor Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Bhd menyambung semula bekalan air dan elektrik ke kawasan terjejas akibat kejadian itu.
Abdul Wahib berkata kajian awal pihak bomba mendapati struktur tanah di kawasan berkenaan masih berisiko berlaku runtuhan, terutama jika hujan.
"Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut dan akan menghubungi pihak kontraktor serta menasihatkan mereka agar memberhentikan kerja-kerja pembinaan buat sementara waktu untuk menilai risiko keruntuhan tanah," katanya.
Kawasan Kampung Tahana, yang dipercayai didiami lebih 20 tahun lalu, mempunyai 31 buah rumah dengan kira-kira 200 penduduk.
Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Negeri berkata 10 buah rumah di kawasan berdekatan disarankan berpindah kerana tidak selamat.
Sementara itu, tanah runtuh di Kampung Tahana itu dikatakan merupakan kejadian kali keempat.
Ia dikatakan menimbus enam buah rumah setinggan dan tiga buah motosikal serta nyaris mengorbankan 24 orang penduduk.
Seorang penduduk Nasrullah Sukriadi, 22, berkata kejadian kali ketiga berlaku semasa bulan puasa ini, tapi kali ini ia adalah yang paling buruk.
"Ini satu-satunya laluan keluar masuk penduduk. Yang paling merisaukan ialah bagi budak-budak sekolah kerana kawasan ini kini agak berbahaya untuk dilalui," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sejak pembinaan dijalankan di kawasan berhampiran, kawasan perkampungan itu bukan sahaja sentiasa terputus bekalan eletrik dan air, malah bertukar menjadi kotor akibat kerja-kerja pembinaan.
Menceritakan kejadian itu, Nasrullah berkata beliau sedang menonton televisyen apabila terdengar bunyi seperti puting beliung, sebelum bergegas keluar dari rumahnya.
"Pada masa yang sama, saya dengar orang jerit tanah runtuh. Kemudiannya saya lihat rumah mak cik saya telah ditimbus tanah. Mujur mak cik bersama sepupu saya sempat keluar," katanya.
Beliau berkata tanah runtuh berlaku kira-kira 20 minit sebelum berhenti.
Saiful Arif Rudi, 20, pula berkata beliau sedang memasak apabila terdengar bunyi kuat dari arah belakang rumahnya.
"Saya terpaksa menendang pintu dapur untuk keluar kerana ia telah tersekat. Bila saya keluar saya dapati tanah telah menimbus sebahagian belakang rumah saya," katanya yang telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Ansari Najib, 24, berkata beberapa aduan telah dibuat termasuk yang terbaru seminggu sebelum bulan puasa menerusi 'Aduan Rakyat Online', tetapi masih belum ada tindakan susulan.
"Saya kini cuba meraih sokongan penduduk lain untuk membuat laporan kepada Majlis Bandaraya Johor Baharu," katanya.
Beliau berkata setiap kali berlaku kejadian tanah runtuh, bekalan air dan elektrik akan terputus.
- Bernama

