Bukit Aman mahu akses soal Justo
Polis Malaysia mahu menyoal bekas pekerja PetroSaudi International, Xavier Justo, yang kini ditahan di Thailand atas dakwaan memeras ugut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau telah menyampaikan permintaan itu kepada pihak polis Thailand, dan akan mengadakan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat dua hala pada 2 Julai.
"Saya telah membuat permohonan kita diberi ruang untuk temu bual Justo sebelum tindakan diambil ke atasnya.
"Pada 2 Julai timbalan ketua polis Thailand akan datang, jadi kita akan berbincang apakah langkah seterusnya yang akan kita ambil terhadap Justo," katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.
Bagaimanapun, Khalid tidak menjelaskan mengapa polis Malaysia mahu menyoal Justo.
Kerajaan telah mendakwa bahawa Justo telah mengubah emel yang didakwa dicuri dari syarikatnya, untuk memburukkan 1MDB dan rakan perniagaan PetroSaudi.
Apabila ditanya sama ada Malaysia akan meminta Justo diekstradisi ke sini, Khalid berkata: "Kita akan pikirkan kemudian".
Beliau juga berkata Thailand belum meminta ekstradisi mana-mana suspek dari Malaysia, dan ia akan dibincangkan semasa mesyuarat pada 2 Julai.

