Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, melahirkan kebimbangannya terhadap potensi Syarikat Felda Global Ventures (FGV) menemui kegagalan.

Perkara itu dikatakan dijelaskan beliau dalam pertemuannya dengan Persatuan Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) di Putrajaya yang diketuai pengerusinya Mazlan Aliman, hari ini.

Mazlan berkata, pada pertemuan lebih satu jam di Yayasan Kepimpinan Perdana itu, Mahathir menjelaskan beliau bimbang pelaburan Felda itu terlepas di tangan pihak luar.

"Tun mengatakan pelaburan itu (FGV) dilakukan diluar negara, jadi ia hanya menguntungkan pihak luar.

“Bukan menguntungkan kita," kata Mazlan, anggota jawatannya pusat PAS yang meletakkan jawatan selepas kekalahan besar rakan-rakan kemnya dalam pemilihan parti lalu.

Dihubungi Malaysiakini , Mazlan berkata, Mahathir turut menyentuh hubungannya dengan allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan menyatakan jasa perdana menteri kedua itu kepada beliau.

"Beliau kata Tun Razak berusaha membangunkan Felda, tetapi Najib sebaliknya (merosakkan). Mengapa Najib lantik Isa Samad (Tan Sri)?" soalnya lagi.

Tambah Mazlan, Mahathir turut bercerita mengenai sejarah pembangunan Felda pada zaman beliau yang mewujudkan ladang-ladang Felda sehingga agensi itu mendapat pulangan tanpa bergantung kepada kerajaan.

Selain itu katanya, Mahathir turut menyuarakan agar Najib melepaskan jawatan sebagai perdana menteri kerana bimbang negara akan menjadi lebih teruk.

Kunjungan muhibah ANAK, NGO yang dekat dengan PAS, itu disertai 13 anggota untuk mendengar pandangan Mahathir mengenai isu negara khususnya pembangunan Felda.

Selain itu, ANAK juga mahu bertemu dengan Najib bagi membincangkan mengenai masa depan Felda dan FGV dan yang paling terdekat pihaknya akan mengadakan majlis perasmian ibu pejabatnya yang baru di Ukay Perdana pada 27 Jun ini.

Lihat Komen
ADS