Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Proham: Tubuh RCI, Najib perlu lepas tugas
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Persatuan Hak Asasi Manusia (Proham) menggesa suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung dakwaan Wall Street Journal (WSJ).

Pengerusi Proham Datuk Kuthubul Zaman Bukhari berkata dakwaan sejumlah wang dalam mata wang Amerika Syarikat yang dipindahkan ke akaun peribadi Najib itu mengejutkan negara.

 

"Sangat penting perkara ini dilakukan segera dan diteliti serta disiasat dengan ketelusan oleh badan RCI yang bebas untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap perdana menteri dan menteri kewangan.

"Proham berpendapat bahawa dalam tempoh siasatan ini dilakukan, Najib perlu melepaskan semua tugas dan tanggungjawab berkaitan kementerian kewangan dan 1MDB bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu Kuthubul Zaman berkata kabinet juga harus memandang serius dakwaan yang dibuat kerana ia memberi implikasi serius kepada mereka.

"Oleh itu, (kabinet) perlu memastikan kebenaran didedahkan demi kebaikan negara," katanya.

Sebelum ini, WSJ melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) wang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib di AmBank sebelum pilihan raya umum 2013.

Bagaimanapun, Najib menafikan dakwaan tersebut dan mengancam untuk menyaman WSJ.

WSJ pula mempertahankan laporan mereka dengan mendakwa dokumen itu diperolehi daripada penyiasat kerajaan dan Najib juga pernah melihat laporan dokumen tersebut.

Lihat Komen
ADS