Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Saya akan buat keputusan dalam masa beberapa hari lagi akan apa tindakan selanjutnya yang akan saya ambil berhubung dengan dakwaan yang cukup jahat," kata Datuk Seri Najib Razak di Semenyih hari ini.

Berbeza daripada jangkaan awal bahawa beliau akan mengumumkan tindakan menyaman pihak yang mengaitkannya dengan skandal pengaliran dana 1MDB, perdana menteri hanya membacakan kenyataan ringkas kepada media.

Kata Najib, perkara itu sudah dirujuk kepada peguam beliau dan mereka akan memberikan nasihat mengenai tindakan wajar yang boleh diambil dari segi perundangan.

"Saya merujuk kepada tuduhan liar yang telah dibuat terhadap saya kononnya saya telah mencuri AS$700juta daripada duit 1MB dan memasukkan duit tersebut dalam akaun persendirian saya.

"Saya telah merujuk perkara ini kepada peguam-peguam saya dan peguam-peguam saya akan memberi nasihat kepada saya apakah tindakan susulan dalam bentuk undang-undang dan sebagainya yang boleh saya buat dalam negara dan luar negara," katanya di Masjid Bandar Rincing hari ini.

Sebelum ini The Star Online meramalkan Najib akan mengumumkan langkahnya menyaman pihak yang menyebarkan berita mengenai skandal pengaliran dana 1MDB.

Tiada soalan dilayan

Jumaat lalu Wall Street Journal menyiarkan laporan mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta dana milik 1MDB disalurkan kepada akaun di bawah nama "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak".

Bagaimanapun 1MDB dan Najib sendiri sudah mengeluarkan kenyataan menafikan laporan berkenaan.

Ekoran laporan itu juga pelbagai pihak mendesak perdana menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan namanya serta mempertahankan integriti kerajaan .

Tengah hari tadi tersebar berita di kalangan media mendakwa Najib akan mengadakan sidang media mengenai isu saman ke atas WSJ.

Ada kira-kira 40 petugas media hadir di majlis petang ini, termasuk wakil media asing.

Selepas tiba di masjid itu kira-kira jam 6.30 petang, Najib terus menemui wartawan tetapi memaklumkan beliau tidak akan menjawab sebarang soalan.

Beliau kemudian bertemu dengan kira-kira 400 penduduk setempat.

Sementara itu semakan dengan peguam Datuk Hafarizam Harun mendapati Najib tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk mengemukakan saman setakat ini.

"Laporan mengenai perdana menteri akan memfailkan saman (pada Selasa seperti dilaporkan sebelum ini) adalah pramatang  kerana surat tuntutan belum dihantar," katanya kepada Malaysiakini.

Jika surat itu dihantar kepada WSJ, mereka diberi tempoh tertentu untuk menjawab sebelum Najib boleh memulakan proses menyaman.

Lihat Komen
ADS