Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Nan: Bertenang hadapi serangan WSJ
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 12:57 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru kepada seluruh ahli Umno supaya bertenang dan berfikir secara rasional berhubung "serangan" yang dilakukan terhadap presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Tengku Adnan juga meminta supaya sokongan padu diberikan kepada Najib.

Malah, menteri Wilayah Persekutuan itu berharap agar semua ahli dapat memberikan ruang kepada perdana menteri memikirkan tindakan yang sewajarnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Saya terpanggil untuk meminta semua ahli-ahli Umno dari kepimpinan atas hinggalah ahli-ahli di akar umbi agar mengambil sikap bertenang dan berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku di sekeliling kita sejak kebelakangan khususnya serangan bertali arus terhadap perdana menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Seharusnya kita terus memberikan sokongan padu kepada pemimpin atasan kita serta memberi ruang kepada beliau untuk memikirkan tindakan yang sewajarnya diambil demi kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, Tengku Adnan atau dikenali sebagai Ku Nan juga meminta semua ahli supaya meneruskan perjuangan dan berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti.

"Saya menyeru semua ahli Umno untuk meneruskan fokus perjuangan parti selaras dengan gerak kerja yang telah diatur.

"Sehubungan itu, sekali lagi saya mengajak ahli-ahli Umno sekalian untuk terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur," katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan dakwaan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) wang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib di AmBank, sebelum pilihan raya umum 2013.

Bagaimanapun, Najib menafikan dakwaan tersebut dan mengancam untuk menyaman WSJ.

Malah, beliau turut menuduh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai orang yang bertanggungjawab di sebalik dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS