Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber: 3 daripada 6 akaun dibeku milik PM
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 4:43 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Pasukan petugas khas mendedahkan bahawa ia telah membekukan enam akaun bank yang berkaitan dengan dakwaan bahawa RM2.6 bilion dana 1MDB telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Manakala pasukan itu tidak menyatakan pemilik akaun berkenaan, Malaysiakini difahamkan bahawa tiga daripadanya adalah milik perdana menteri.

Ini menurut sumber yang biasa dengan siasatan tersebut.

"Ya, tiga akaun kepunyaannya (Najib)," kata sumber itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan butiran mengenai tiga akaun lain.

Pembekuan akaun itu ekoran penyiasatan selama empat hari oleh empat badan yang terdiri daripada Bank Negara, polis, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini dibuat selepas laporan Wall Street Journal (WSJ)mendakwa AS$700 juta (RM2.6 bilion) telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib. 

Pada hari Sabtu, dilaporkan bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan pasukan petugas itu juga membuat serbuan ke atas tiga buah syarikat pada hari Jumaat dan merampas dokumen dari pejabat mereka.

Tiga syarikat itu ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Perdana Menteri telah menafikan dakwaan tersebut dan menuduh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di belakang sabotaj politik terhadapnya.

Beliau juga telah mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritiknya, dan sedang menimbang untuk menyaman WSJ.

WSJ mempertahankan laporannya, dengan berkata ia berdasarkan penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS