Satu maklumat yang tersebar luas melalui aplikasi Whatsapp yang mendakwa Sirul Azhar Umar akan membuat pengakuan di mahkamah Australia kononnya beliau membunuh Altantuya Shaariibuu atas arahan individu tertentu, adalah khabar angin, lapor Utusan Online hari ini.

Laporan itu menyebut, peguam kepada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu, Hasnal Rezua Merican berkata beliau bertanya sendiri kepada Sirul bagi mendapatkan kepastian mengenai maklumat itu yang dibuat menggunakan nama akhbar Herald Sun Australia.

"Setelah bertanya sendiri, Sirul Azhar menafikan sekeras-kerasnya tentang maklumat berkenaan termasuk prosiding untuk hadir ke mahkamah.

"Kemudian saya menghubungi Herald Sun Australia dan mereka juga menafikan khabar angin itu. Mereka tidak ada maklumat mahu pun menyiarkan sebarang berita berkaitan Sirul Azhar,” katanya seperti dilapor portal berita itu.

Laporan itu juga menyebut Hasnal Rezua berkata penyebaran maklumat itu juga dilihat bertujuan menimbulkan kekecohan dengan melibatkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Akhbar itu melaporkan, Hasnul berkata kenyataan palsu itu merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana berpotensi menjatuhkan kredibiliti banyak individu.

“Saya tidak pasti motif sebenar kenyataan itu dibuat tetapi masyarakat Malaysia diharap dapat menghentikan perkongsian maklumat palsu itu sebelum menjadi perkara yang lebih teruk,” katanya.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan Azilah Hadri kerana membunuh wanita Mongolia itu sembilan tahun lalu namun Sirul Azhar melarikan diri ke Australia.