Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak menjelaskan "tuduhan berat" yang dikaitkan dengan beliau susulan pendedahan Wall Street Journal (WSJ) mengenai dokumen yang mendakwa AS$700 juta didepositkan kepada akaun peribadinya.

Ketuanya Datuk Mahfodz Mohamed juga berkata skandal Najib itu menjadi lebih berat selepas dikaitkan dengan pembunuhan pengasas Arab Malaysian Banking Group Hussain Ahmad Najadi pada 29 Julai 2013.

"DUPP berpendirian bahawa kedua-dua tuduhan ke atas beliau ini adalah sangat berat menurut kaca mata Islam dan ia melibatkan kepentingan orang ramai dan negara.

"Oleh itu, DUPP mendesak Datuk Seri Najib Razak menjelaskan keadaan sebenar dan mengemukakan respon konkrit kepada ahli-ahli parlimen dengan memanggil sidang khas parlimen sesegera mungkin," katanya.

Bagaimanapun semalam Najib menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak pernah mengambil dana firma pelaburan 1MDB itu untuk kepentingan peribadi manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula menjelaskan pembunuhan Najadi tiada kaitan dengan siasatan kes 1MDB.

Dalam kenyataanya hari ini, Mahfodz mengulangi pendirian beberapa pihak sebelum ini supaya suruhanjaya siasatan diraja mesti ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan itu secara adil, telus dan menyeluruh tanpa dipengaruhi pihak berkepentingan.

Beliau berkata sayap PAS itu turut menyokong usaha banyak pihak membongkar kebenaran isu itu dan menuntut keadilan terhadap isu yang dianggap sangat berpotensi menggugat negara ekoran sikap ketiadaan amanah oleh pemimpin.

"Pada masa sama, DUPP juga ingin mengingatkan khususnya kepada para pimpinan dan ahli-ahli PAS agar tidak terlalu ghairah membuat andaian dan spekulasi secara tidak berasas kerana dikhuatiri akan mendapat dosa memfitnah dan bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan isu yang tidak jelas hujung pangkalnya.

"Sewajarnya dan memadai kita menuntut dan terus memberi tekanan agar wujud proses siasatan dan pengadilan yang berintegriti dan beribawa bagi menyelesaikan isu ini," katanya.