Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JPS sedia 22 pam air hadapi musim panas
Diterbitkan:  Jul 9, 2015 2:50 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyediakan 22 pam air di kolam sekitar empangan Sungai Selangor bagi menghadapi musim panas dan kering tahun ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS, Datuk Hanapi Mohamad Noor berkata 22 pam di 30 kolam air itu ialah untuk meningkatkan aras air di sungai bagi memastikan pam di muka sauk dapat membekalkan air ke loji rawatan.

"Empangan Sungai Selangor menyalurkan 60 peratus air kepada penduduk di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Usaha ini dijangka dapat memastikan loji rawatan air dapat membekalkan air terawat di musim kering," katanya dalam sidang media di pejabatnya di ibunegara hari ini.

Hanapi berkata paras air di empangan itu berada pada tahap biasa masa ini dan beliau yakin persediaan awal yang dibuat dapat mengelakkan ia daripada mencapai tahap kritikal seperti yang berlaku tahun lepas.

"Tahun lepas, empangan itu mencapai paras air kritikal iaitu 35 peratus dan dengan adanya pam air sekarang, paras yang paling rendah yang mungkin dicapai adalah 50 peratus," katanya.

Empangan itu menyalurkan air ke tiga loji rawatan iaitu Badung, Rantau Panjang serta Sungai Rasau.

Sementara itu, Hanapi berkata JPS turut memantau 21 empangan utama di seluruh Malaysia dan pada masa ini trend kapasiti empangan masih menunjukkan paras air yang terkawal untuk bekalan sumber air di musim kering.

"Hanya empangan Labong di Mersing, Johor yang menunjukkan paras kritikal kerana kegunaan air yang banyak untuk tujuan pengairan sawah padi di luar musim (Jun hingga Ogos) tetapi penggunaannya telah dihentikan," katanya.

Pada umumnya keadaan empangan utama lain masih menunjukkan kapasiti takungan air melebihi 60 peratus jauh lebih baik berbanding musim kering tahun lepas.

Sehingga hari ini, selain empangan Sungai Selangor, sembilan lagi empangan di seluruh negara berada pada paras biasa iaitu Sungai Tinggi, Machap, Beris, Ahning, Bukit Merah, Tasik Subang, Semenyih, Klang Gate dan Ulu Kinta.

Lapan empangan berada pada paras berjaga-jaga iaitu Sembrong, Bekok, Padang Saga, Pedu, Muda, Anak Endau, Langat dan Batu.

Empangan Timah Tasok berada pada paras amaran manakala Labong dan Bukit Kwong berada pada paras bahaya.

Maklumat lanjut mengenai keadaan empangan boleh dirujuk di laman web http://infokemarau.water.gov.my

- Bernama

Lihat Komen
ADS