PM: Henti fitnah, intailah Lailatul Qadar
Di tengah-tengah serangan hebat terhadap kewibawaannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyeru rakyat Malaysia berhenti menyebarkan fitnah bagi menghormati bulan mulia Ramadan.
Lebih-lebih lagi, kata Najib, Ramadan sudah memasuki sepuluh hari terakhir yang salah satunya malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar.
“Di bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita semua berhenti menyebarkan fitnah dan kebencian serta terus beristiqamah melakukan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir.
“Mohonlah agar dosa kita diampunkan dan bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan keberkatan malam istimewa ini kerana ia mungkin malam Lailatul Qadar kita yang terakhir,” kata Najib.
Najib berkata demikian dalam rakaman yang dimuat naik bersama transkrip di blognya hari ini.
Perdana menteri juga mengingatkan bahawa malam Lailatul Qadar merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam.
Ia juga, kata Najib, malam yang penuh rahmat dan nikmat besar daripada Allah SWT.
“Pada malam tersebut, kita dijanjikan ganjaran pahala ibadat yang berlipat ganda seperti yang digambarkan dalam maksud firman Allah dalam Surah Al-Qadr, 'Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan',” kata Najib lagi.
Najib kini berdepan dakwaan serius berlaku pemindahan wang hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di AmBank.
Najib menafikan dakwaan itu dan mengancam tindakan undang-undang kepada media antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) yang melaporkan dakwaan itu.

