Percanggahan nombor akaun yang dibuat ketika pendaftaran dengan penyata tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) antara punca kelewatan bayaran itu kepada syarikat yang mendaftar, kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad.
Beliau berkata, ketidaksamaan itu menyebabkan bayaran balik tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang dijanjikan kerana perlu mendapatkan pengesahan daripada syarikat.
"Terdapat juga syarikat menyatakan untuk membuat pembekalan cukai standard ketika pendaftaran tetapi di dalam penyata tuntutan dinyatakan (untuk) membuat eksport," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program GST Bersama Pelanggan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) di Ipoh, hari ini.
Khazali berkata, pihaknya tidak dapat membuat bayaran balik cukai berkenaan dengan segera kepada beribu-ribu syarikat yang telah menyerahkan penyata GST-03, kerana perlu menghubungi peniaga untuk mendapatkan pengesahan mereka.
"Kita perlu menyemak semula penyata syarikat bagi memastikan tiada pihak melakukan tuntutan palsu," katanya.
Sehingga kini, sebanyak 380,313 syarikat dan entiti telah berdaftar di bawah GST dan 64,864 daripada 72,041 syarikat telah membuat penghantaran penyata GST-03 pada Jun lepas.
- Bernama
