Kaunseling secara kerohanian yang diterapkan dengan nilai-nilai agama adalah antara kaedah terbaik dalam menangani masalah gelandangan, kata Anggota Dewan Negara, Senator Shahanim Mohd Yusof.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya semasa beberapa siri turun padang berjumpa dengan gelandangan di sekitar ibu kota, kebanyakannya dilihat tidak mempunyai pengisian jiwa yang menyebabkan mereka tiada semangat untuk berubah.

"Selain makanan dan keperluan asas, jiwa golongan itu perlu diisi dengan aspek-aspek kerohanian dan motivasi agar mereka lebih terbuka dan berusaha memajukan diri.

"Isu gelandangan perlu diselesaikan kerana hasrat kerajaan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 tidak mungkin akan tercapai jika masih ada rakyat yang masih tidur di kaki lima," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Pada persidangan Dewan Negara baru-baru ini, Shahanim telah mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pangkalan data berkaitan gelandangan bagi mengenal pasti punca permasalahan, keperluan dan kehendak sebenar golongan berkenaan.

Shahanim berkata bukan semua golongan gelandangan malas dan sengaja memilih untuk hidup merempat, justeru konsep yang lebih mesra perlu digunakan ketika mendekati mereka.

"Janganlah kita menghukum mereka, sebaliknya kita kenal pasti kenapa mereka hidup sebegini, kemudian nasihatkan mereka agar lebih memikirkan tentang masa depan," katanya.

Penaung Persatuan Belia Nur Kasih itu memberitahu setakat ini pihak persatuan telah menyenaraikan lebih 800 gelandangan termasuk wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) dan bersedia memanjangkannya kepada pihak berkaitan.

"Maklumat yang kita dapat ini kita akan salurkan kepada agensi atau kementerian yang bertanggungjawab dan jika boleh berilah mereka peluang pekerjaan yang bersesuaian seperti tukang kebun atau pembantu rumah.

"Dengan cara ini lebih menjimatkan kerana majikan tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk deposit dan sebagainya seperti mengambil pembantu rumah warga asing," katanya.

- Bernama