Suka duka jadi anak Dr Mahathir
Biasanya orang membayangkan menjadi anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad - yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun - adalah cukup beruntung dan penuh dengan keistimewaan.
Namun bagi Marina - anak sulung Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali - dia dan adik-adiknya mereka dibesarkan secara sederhana dan tidak banyak berbeza daripada penduduk lain di Alor Setar, Kedah.
"Orang ramai asyik menganggap saya membesar sebagai anak perempuan perdana menteri - yang saya anggap keterlaluan - kerana mereka menyangka saya sangat muda. Sebenarnya beliau (Dr Mahathir) tidak menjadi perdana menteri sehingga saya sudah dewasa.
"Zaman kanak-kanak saya adalah normal. Bapa dikenali ramai di Alor Setar kerana dia adalah doktor Melayu swasta pertama (di situ).
"Selain itu apa yang kami lalui ada kehidupan biasa," katanya kepada Malaysiakini dalam temu bual eksklusif pada Khamis.
Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bernikah pada 1956 dan Marina lahir setahun kemudian. Pasangan itu dikurniakan tiga lagi cahaya mata dan membesarkan tiga anak angkat.
Menggambarkan ibu bapanya, Marina menganggap Dr Mahathir sebagai seorang yang gemar melawak manakala Siti Hasmah lebih tegas dalam keluarga.

