Bank Negara kecam dakwaan pegawai bocor maklumat
Bank Negara Malaysia (BNM) mengecam dakwaan bahawa pegawainya membocorkan maklumat kepada kepada media berhubung dakwaan sejumlah wang telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Dakwaan ini adalah tidak berasas sama sekali. Sehubungan dengan itu, pihak Bank telah bertindak membuat laporan polis.
"Bank Negara Malaysia bertekad akan terus berusaha mencari kebenaran dengan cara yang adil dan saksama,” kata BNM dalam kenyataannya hari ini.
Laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini melaporkan pengendali portal Malaysia Today Raja Petra Kamarudin mendakwa tiga pegawai kanan BNM kini sedang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki membocorkan maklumat sulit kepada Wall Street Journal (WSJ).
Sebelum ini WSJ melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun peribadi Najib.
Dalam melaksanakan tanggungjawab, Bank Negara menegaskan pihaknya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tidak akan memperdayakan amanah rakyat yang diberikan sekaligus berikrar akan terus menyiasat mana-mana pelanggaran terhadap undang-undang bawah seliaannya.
“Pihak Bank, sebagai sebahagian daripada Pasukan Petugas Khas, tetap komited untuk mencapai objektif Pasukan Petugas Khas.
“Dalam usaha ini, pihak Bank mendapat sokongan sepenuh daripada pasukan petugas khas,” katanya.

