Kumpulan wartawan Gerakan Media Marah (GERAMM) mengecam insiden yang melibatkan pengamal media semasa pergaduhan di Plaza Low Yat, Bukit Bintang malam tadi.

Sehubungan itu, gerakan itu meminta agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melakukan keganasan semalam.

"GERAMM mengecam sekeras-kerasnya serangan itu. Kami juga mengingatkan semua bahawa keganasan bukan tindakan sesuai dalam apa jua keadaan.

"Penting ditegaskan di sini, pengamal media berada di tempat kejadian untuk berkhidmat bagi kepentingan awam dan tidak wajar mereka dijadikan sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

"Kami berharap tindakan tegas diambil terhadap pelaku-pelaku keganasan ini," kata kumpulan itu dalam kenyataan medianya.

Selain itu, gerakan itu juga meminta semua pihak bertenang dan membenarkan pihak polis menjalankan tugas mereka.

Malah, GERAMM juga menyeru kepada semua pihak termasuk wartawan agar tidak menyebarkan khabar angin mengenai kejadian itu.

"Kami ingin menyeru semua pihak, termasuk wartawan agar tidak menyebarkan khabar angin yang boleh memburukkan lagi keadaan.

"GERAMM benar-benar berharap kepada semua media agar berpegang teguh pada etika kewartawanan dalam menjalankan tugas, khususnya dalam melaporkan isu-isu hubungan kaum," kata gerakan itu lagi.

Dalam kejadian malam tadi, beberapa wartawan dan seorang pekerja bar dilaporkan cedera dalam perhimpunan yang bertukar menjadi ganas selepas kira-kira 200 orang menyerbu tempat itu.