'Tindakan terhadap polis lepas rakan suspek'
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengakui bahawa seorang rakan kepada pemuda yang didakwa mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, dibebaskan oleh anggota polis yang bertugas.
Khalid berkata, anggota itu telah membebaskan rakan pemuda itu tanpa merujuk kepada pegawai kanannya terlebih dahulu.
Oleh itu, kes anggota polis itu akan diuruskan oleh pihak polis secara berasingan, kata Khalid.
"Tindakan anggota polis ini adalah tanpa merujuk kepada pegawai kanan. Dia telah membuat keputusan sendiri (dan) telah gunakan budi bicara pada masa itu.
"Itu kita akan uruskan dia (anggota polis) secara berasingan," katanya ketika ditemui pemberita di Plaza Low Yat hari ini.
Selain itu, Khalid berkata, rakan pemuda itu kemudiannya menyebarkan berita palsu yang medakwa kawannya telah ditipu oleh peniaga di salah sebuah kedai di pusat membeli-belah alat elektronik berkenaan.
Perkara itu kemudian membawa kepada pergaduhan antara pemuda tersebut, rakannya dan peniaga kedai berkenaan.
"Yang mencuri telah ditahan tetapi yang seorang ini telah balik dan buat cerita yang tak betul," kata Khalid lagi.

