Pemuda PAS dakwa Umno bersifat talam dua muka
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) tidak bersetuju dengan penggunaan istilah kotor 'najis dan air kencing' terhadap Islam Hadhari ciptaan Umno, tetapi pada masa yang sama, DPP melihatnya sebagai satu manifestasi kekecewaan rakyat kerana Umno tidak serius menjaga nama baik Islam.
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) tidak bersetuju dengan penggunaan istilah kotor 'najis dan air kencing' terhadap Islam Hadhari ciptaan Umno, tetapi pada masa yang sama, DPP melihatnya sebagai satu manifestasi kekecewaan rakyat kerana Umno tidak serius menjaga nama baik Islam.
Ketua DPP Salahuddin Ayub berkata pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya bertindak balas apabila terdapat isu-isu yang menjejaskan kepentingan mereka sedangkan isu kesuciaan Islam jauh lebih penting daripada survival politik kepartian mereka.
"Oleh kerana isu ini mencemar nama Islam Hadhari yang ditunggang oleh mereka, maka mereka segera bertindak balas, seolah-olah Islam Hadhari itu menepati piawai al-Quran dan Hadis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Tindakan talam dua muka seperti itu iaitu menganggap menghina Islam Hadhari ciptaan mereka sebagai sama dengan menghina Islam, tetapi mereka sendiri memperlekehkan Islam untuk kepentingan politik sempit mereka adalah lebih hina daripada perbuatan menggelar Islam Hadhari sebagai 'najis dan air kencing.
"Perbuatan membuat Islam dicerca, dihina dan menafikan haknya untuk memerintah manusia, walaupun memiliki kuasa, adalah lebih najis daripada tindakan pihak-pihak tertentu menghina Islam Hadhari Umno," katanya.
Sehubungan itu, katanya, DPP mahukan satu tindakan yang menyeluruh diambil ke atas semua pihak yang menghina Islam.
Sebelum ini, tambahnya, PAS dan beberapa pihak lain telah membuat laporan polis, mengadu kepada Majlis Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri untuk menangani isu penghinaan terhadap Islam.
Penulis jahat
"Tetapi ia 'dibakulsampahkan' oleh pemimpin Umno. Bahkan, beberapa penulis jahat terus berkeliaran dalam menyampaikan pemikiran sesat mereka.
"Jika kerajaan BN bersungguh-sungguh untuk membendung perbuatan menghina Islam Hadhari yang dicipta oleh mereka, maka mereka mestilah juga membersihkan Islam daripada penghinaan pemimpin Umno sendiri," tambahnya.
Oleh itu, kata Salahuddin yang jua Ahli Parlimen Kubang Krian, berkata kerajaan BN juga mesti mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, telus dan progresif berteraskan Islam jika tidak mahu Islam dihina.
Mengenai kenyataan beberapa pemimpin kerajaan untuk mengambil tindakan tegas, termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengendali blog Jeff Ooi berhubung perkara tersebut, beliau berkata:
"DPP berasa hairan di atas perubahan sikap pemimpin kerajaan, khususnya pemimpin Umno yang begitu sensitif apabila Islam Hadhari ciptaan mereka dihina secara senyap apabila ia dianggap sebagai najis air kencing oleh peserta forum kendalian Jef Ooi."
Sedangkan, dakwa Salahuddin, sebelum ini mereka tidak pernah mengambil tahu soal nasib agama Islam dan institusi-institusi yang dihina oleh pelbagai pihak, termasuk pemimpin tertinggi Umno sendiri.
"Tetapi apabila Islam Hadhari Umno dihina, mereka cepat-cepat bertindak balas, seolah-olah Islam Hadhari mereka itu menepati kehendak al-Quran dan Sunnah sehingga ia mesti dipertahankan bermati-matian," tambahnya.
Janggut Nabi
Katanya, walaupun DPP berpandangan penghinaan oleh pihak-pihak tertentu adalah tidak wajar kerana ia boleh menjejaskan perpaduan negara, tetapi ia menegaskan pandangan itu harus dilihat dari aspek yang dikritik oleh peserta forum tersebut
Menurutnya, Umno mendakwa mahu melaksanakan Islam Hadhari ciptaannya, tetapi pada masa yang sama, ia mengamalkan politik wang, penyelewengan, menindas rakyat, menguatkuasakan akta-akta zalim dan menyalahguna kuasa, yang langsung tidak mengambarkan keperibadian Islam mengikut al-Quran dan Sunnah.
"Bahkan mereka sendiri menganjurkan kemaksiatan seperti kilang arak, perjudian, konsert artis barat, budaya hedonisme dan sebagainya yang akhirnya disimpul oleh peserta forum tersebut sebagai setaraf dengan najis," tambahnya.
Menurut Salahuddin lagi, jika Umno betul-betul serius menjaga nama baik Islam, mengapa ia tidak bertindak ke atas pemimpinnya seperti Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya telah menghina sunnah Nabi, iaitu menyimpan janggut.
"Atau tindakan mereka mempertikaikan keadilan hukum hudud, menghina para ulama, mencerca institusi Islam seperti sekolah agama rakyat (SAR), memecat mufti, menganggap Islam sebagai pengganas dan sebagainya," tambahnya.
Salahuddin juga mempertikaikan mengapa pemimpin kerajaan tidak bersuara apabila beberapa penulis seperti Farish A Noor, Akhbar Ali, Zainah Anwar dan Astora Jabat yang didakwa sebagai penulis upahan Umno menghina Islam.

