5 mati lemas dalam kejadian bot karam
Pemandu bot mendakwa ombak kuat merupakan punca bot yang dibawanya karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang di Tanjong Karang semalam sehingga mengorbankan lima nyawa setakat ini.
P Alumalai, 51, berkata ribut petir berlaku ketika kejadian itu.
Beliau berkata mangsa dalam perjalanan pulang setelah melakukan upacara membuang abu mayat di kawasan perairan itu kira-kira pukul 5 petang.
Alumalai dari Sekinchan yang telah mengemudi bot selama enam tahun menolak dakwaan bahawa penumpang berlebihan turut menjadi punca bot berkenaan karam.
Bot itu yang dinaiki 14 orang yang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada pukul 3 petang bagi melakukan upacara membuang abu mayat.
Dua jam kemudian ia dilapor karam semasa dalam perjalanan pulang.
Lima mayat ditemukan setakat ini yang kesemuanya berasal dari Sungai Buluh, Kuala Selangor, sementara dua lagi sedang dicari.
Tujuh orang berjaya diselamatkan nelayan tempatan sebelum ini.
Sementara itu, Penolong Pengarahnya Mohd Sani Harul berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.05 malam berhampiran sebuah boya kira-kira dua batu nautika dari pantai bagan Sungai Kajang.
Sebanyak 12 anggota bomba dan anggota penyelamat yang dikerahkan ke tempat kejadian menemukan mayat tiga wanita dan seorang lelaki manakala enam lelaki dan seorang wanita diselamatkan sebuah bot nelayan, katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp kepada Bernama.
"Tiga lelaki hilang dalam kejadian itu. Pemandu bot yang diselamatkan dalam kejadian itu, keadaannya agak kritikal dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh," katanya.
Kesemua mayat yang ditemukan telah diserahkan kepada pihak polis, katanya dan menurutnya punca bot itu karam masih belum dikenal pasti.
Mohd Sani berkata operasi bersepadu mencari tiga lelaki yang hilang disambung pagi ini dengan bantuan anggota polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
- Bernama

