Kerajaan Terengganu Pas tidak gentar mengenai royalti minyak
Kerajaan Pas Terengganu tidak gentar berhubung cadangan Kerajaan Pusat samada untuk meneruskan pemberian royalti minyak atau tidak.
Menurut Exco Bahagian Ekonomi, Pembangunan, Petroleum, Industri dan Sumber Manusia, Mustaffa Ali, perjanjian "hitam putih" antara kerajaan negeri dan Petronas termaktub sejak 1970-an lagi. Dalam perjanjian tersebut Petronas bersetuju memberi kadar royalti sebanyak lima peratus sebagai pampasan.
"Mereka (Kerajaan Pusat) terus membangkitkan isu berbaur politik," ujar Mustaffa berhubung isu tersebut kepada malaysiakini hari ini.
Beliau menjelaskan kerajaan Pas Terengganu tidak ada sebarang rancangan khas sekiranya Kerajaan Pusat bercadang menyekat pemberian royalti minyak itu.
Perkara tersebut telah jelas (dalam perjanjian) dan sebarang perubahan akan dimaklumkan kepada kerajaan negeri itu.
"Kita bersikap telus (transparency) berbanding kerajaan Barisan Nasional," ujar Mustaffa apabila ditanya berhubung garispanduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan terhadap wang royalti itu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad, berkata tidak timbul tuduhan penyelewengan ke atas akaun negeri itu.
Beliau menjelaskan bahawa setiap akaun negeri akan diaudit dan laporan akan dibawa kepada parlimen, ketika mengulas tindakan kerajaan negeri tidak menghantar laporan terperinci kepada Kerajaan Pusat.
"Kenapa isu ini hanya timbul setelah Pas memerintah negeri Terengganu," soal Syed Azman terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan negeri Terengganu tidak berhak menikmati royalti tersebut.
Katanya, semasa Umno memerintah, Kerajaan Pusat telah bercadang menambah kadar royalti minyak negeri itu.
"PM (Dr Mahathir) harus menghormati keputusan rakyat negeri Terengganu dan bersikap rasional," ulas Syed Azman.
Beliau berharap kerajaan BN memberi peluang kepada kerajaan negeri membaiki taraf hidup negeri kedua termiskin itu.
Semalam akhbar Utusan Malaysia melaporkan Dr. Mahathir berkata Terengganu tidak berhak menikmati royalti minyak walaupun Sabah dan Sarawak akan terus menikmati royalti minyak tersebut..
Sumber tersebut menjelaskan, pembayaran royalti merupakan ihsan Kerajaan Pusat kerana di bawah Kanun Tanah (Bab 138) yang berkuatkuasa pada Januari 1928 untuk seluruh Semenanjung Malaysia, tanah kepunyaan negeri ditakrifkan sebagai semua tanah dalam negeri termasuk pesisiran pantai dan dasar laut dalam kawasan perairannya (the foreshore and bed of the sea within the territorial waters of the state).
Mengikut undang-undang antarabangsa, kawasan perairan negeri (territorial waters) meliputi kawasan yang terletak dalam lingkungan tiga batu nautika dari tanda air surut (low water mark).
Menurut sumber itu, berdasarkan definisi tersebut, kerajaan Terengganu tidak mempunyai hak ke atas royalti kerana petroleum yang diperoleh selama ini adalah dari kawasan 100km atau lebih dari kawasan perairan negeri.
Bagaimanapun sumber dipetik berkata, Kerajaan Pusat mungkin membayar royalti sebanyak RM810 juta tahun ini, yang merupakan 75 peratus lebih tinggi daripada apa yang diberikan semasa negeri itu diperintah oleh kerajaan BN.
Kenaikan tersebut ekoran peningkatan harga minyak di pasaran antarabangsa yang kini berada pada tahap AS$30 hingga AS$32 setong.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.