Azmin yakin PAS mampu selesaikan masalahnya
Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata parti-parti Pakatan Rakyat perlu bersatu dalam memastikan kepercayaan rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Enggan mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad bahawa Gerakan Harapan Baru (GHB) hanya akan menguntungkan BN, Azmin percaya parti Islam itu akan dapat menyelesaikan masalahnya.
Katanya, beliau tidak mahu campur tangan dalam hal ehwal dalaman PAS.
Beliau percaya kepimpinan PAS mampu menyelesaikan masalahnya supaya rakyat akan yakin bahawa Pakatan akan membawa perubahan dalam pilihan raya umum ke-14.
Azmin memberitahu pemberita demikian di majlis rumah terbuka negeri di Shah Alam hari ini.
GHB ditubuhkan oleh beberapa ahli progresif PAS yang disingkirkan dalam pemilihan semasa muktamar parti itu baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan semalam, Iskandar berkata tumpuan GHB ialah untuk mengukuhkan kedudukannya di kalangan ahli PAS dan bukannya mensasarkan Umno dan BN.
Sementara itu Azmin juga menegaskan bahawa PKR masih belum membuat pendirian mengenai GBH, walaupun Setiausaha Agung parti itu, Rafizi Ramli telah menyatakan sokongan kepada gerakan itu minggu lepas.
Beliau berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis kepimpinan pusat parti itu, yang mengikut jadualnya, pada hari Khamis depan.

