Husam: 'Kampung Report' boleh ganti S'wak Report
Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa mahu maklumat mengenai skandal 1MDB disampaikan kepada semua peringkat, maka beliau mencadangkan satu tabung khas ditubuhkan bagi membiayai percetakan sebaran mengenai isu itu.
Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak takut skandal firma pelaburan itu diketahui rakyat, Husam berkata penggerak perubahan wajar melipatgandakan pennyampaian maklumat itu kepada semua lapisan masyarakat.
Husam yang juga bekas exco kanan kerajaan Kelantan turut menjelaskan terdapat sebilangan rakyat yang belum terdedah kepada internet memerlukan sebaran untuk pengetahun dan renungan mereka.
"Usaha mencetak dan mengedar sebanyak mungkin semua info skandal 1MDB hendaklah dimulakan. Ini memerlukan perbelanjaan yang tidak kecil tetapi peralatan info adalah kunci untuk kebangkitan rakyat yang menyuruh.
"Saya mencadangkan satu tabung khas cetakan bahan 1MDB ditubuhkan dan sumbangan semua pihak yang prihatin untuk perubahan boleh dilakukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi merealisasikan cadangannya itu, Husam menyarankan agar kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB) memulakan inisiatif tersebut dan beliau mahu menjadi penyumbang pertama jika ia terlaksana.
"Sarawak Report dihalang, kita gantikan dengan Kampung Report untuk seluruh rakyat yang cintakan Negara," katanya yang juga ADUN Salor.
Ekoran tindakan kerajaan menyekat akses kepada Sarawak Report semalam, Husam berkata kerajaan BN yang dipimpin Najib akhirnya "angkat bendera putih" kepada laman web pemberi maklumat itu.
"Kegagalan Najib menjawab/menafikan secara berfakta laporan Sarawak Report menyaksikan pahlawan Bugis terpaksa menggunakan kuasanya untuk menghalang laluan rakyat Malaysia kepada laporan Sarawak Report berkait 1MDB," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengkritik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web itu dengan menyifatkan ia "kesilapan besar dan bakal memakan diri".
Katanya, tindakan itu menyebabkan rakyat memberikan kepercayaan lebih kepada Sarawak Report berbanding kerajaan Malaysia.
Bahkan, katanya, kerajaan sepatutnya menfail saman fitnah terhadap laman web itu jika didakwa menyebar fitnah.
Beliau turut mengkritik alasan yang mengatakan laman tersebut mengganggu "kestabilan negara" itu tidak betul.
"Yang mengganggu 'kestabilan negara' hari ini ialah masalah 1MDB dan cara 1MDB sedang melangsaikan hutangnya," katanya.

