1MDB selar The Edge, gesa bantu siasatan
1Malaysia Development Bhd berkata mana-mana pihak yang boleh membantu pasukan penyiasat hendaklah berbuat demikian mengikut landasan undang-undang tanpa mengamalkan sensationalisme yang "tidak bertanggungjawab dan tidak perlu".
1MDB mengulas mengenai laporan berhubung "pelbagai dakwaan dan kenyataan tidak berasas" dalam The Edge Financial Daily hari ini.
"Kami terkejut dakwaan lama dan tidak berasas ini dikitar semula sekali lagi, sedangkan pelbagai rupa siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang sah mengenai isu-isu yang ditimbulkan sebelumnya," kata syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu dalam satu kenyataan.
Laporan empat halaman harian itu tentang 1MDB tertumpu kebanyakannya kepada usaha sama dengan PetroSaudi International.
Syarikat itu berkata: "1MDB mengulangi keyakinan kami dalam proses berkaitan sebagaimana terbukti menerusi siasatan profesional yang sedang dikendalikan oleh pihak berkuasa yang sah".
-Bernama

