Lester dakwa 90% dokumen 1MDB direka
Dalam video pengakuan terbaru beliau, Lester Melanyi mendakwa bahawa bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo hanya memberikan kepada Sarawak Report 10 peratus daripada dokumen yang dimilikinya.
Lester mendakwa sebanyak 90 peratus lagi adalah dokumen yang direka oleh orang Malaysia termasuk individu daripada pembangkang dan beliau mendakwa Justo tidak mengubahnya.
Dalam video itu, bekas wartawan itu berkata pereka web di London sangat baik dalam membuatnya dan jika dia diminta membuat wang, maka dia mampu melakukannya dan membuatkan ia kelihatan tulen.
Dalam klip video berdurasi enam minit, Lester turut mendakwa pereka dokumen memalsukan dokumen bagi misi Sarawak Report untuk menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Najib Abdul Razak bersalah.
Bekas editor Sarawak Tribune berkata beliau bertemu dengan Justo, yang kini sedang disiasat oleh olis Thailand, berhubung dakwaan memeras ugut.
Lester berkata beliau bertemu warga negara Switzerland itu "dua atau tiga kali" pada 2012 dan 2013.

