Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj hari ini memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap pelaksanaan Menteri Kesihatan berhubung garis panduan caj baharu bagi warga asing yang mendapat rawatan di klinik dan hospital kerajaan.

    

Selain caj baharu itu, garis panduan itu adalah mengenai kaedah menangani warga asing tanpa dokumen perjalanan sah yang ke klinik atau hospital kerajaan.

    

Dalam permohonan kebenaran itu, Jeyakumar turut menamakan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

    

Permohonan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur melalui Tetuan Malik Imtiaz Sarwar.

    

Dalam permohonan itu, Jeyakumar memohon satu deklarasi bahawa Kementerian telah bertindak tanpa dasar sah mengambil keputusan berhubung garis panduan itu, dan menolak untuk berbincang pelaksanaan Fi Perubatan Baharu bagi warga asing yang terkandung dalam pekeliling bertajuk Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014 yang dikuatkuasakan pada 1 Jan lalu.

Beliau memohon deklarasi bahawa pelaksanaan pekeliling itu merupakan pencabulan hak.

    

Jeyakumar turut memohon satu perintah mandamus supaya Menteri Kesihatan dan Kementerian Kesihatan berjumpa dan berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan untuk memastikan pekeliling yang diumumkan adalah selaras.

    

Sementara itu, Jeyakumar dalam afidavit sokongan berkata garis panduan itu dilihat salah di sisi undang-undang dan mencabuli hak asasi kerana fi sebanyak RM92 dikenakan terhadap seseorang warga asing untuk memastikan sama ada mereka menghidap penyakit Tuberculosis paru-paru (TB).

    

Beliau berkata fi tinggi dikenakan boleh mewujudkan halangan untuk mereka datang membuat pemeriksaan dan menyebabkan penyakit mudah berjangkit.

    

Ini turut menyebabkan kesihatan masyarakat lain terjejas apabila penyakit itu tidak dikawal, katanya.

    

Sehubungan itu, beliau memohon garis panduan itu ditangguhkan sehingga kesemua perkara-perkara berkenaan selesai.

    

-Bernama