Gerakan tak rela Harapan Baru ada 'gerakan'
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membuat aduan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana membantah penggunaan perkataan "gerakan" untuk kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB).
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng berkata nama GHB sama dengan nama rasmi partinya, Parti Gerakan Rakyat Malaysia.
Justeru, kata Liang ( gambar ), ia boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
"Berdasarkan Seksyen 7 (3)(d)(i) dan (ii) Akta Pertubuhan 1966, jika nama mana-mana pertubuhan dilihat mengelirukan atau menyerupai pertubuhan lain ROS perlu terus menolak pendaftarannya.
"Justeru saya menggesa ROS melihat isu ini dengan serius dan menghalang kumpulan progresif PAS daripada didaftarkan," katanya.
GHB adalah kumpulan dianggotai pemimpin PAS yang tersingkir daripada jawatan utama dalam parti itu ketika mereka mengadakan pemilihan dalam muktamar tahunan di Kuala Selangor bulan lalu.
Setakat ini GHB diketuai bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Walaupun mengumumkan bakal menubuhkan parti baru, GHB masih belum menyatakan nama rasmi yang akan mereka kemukakan kepada ROS.
Kata Liang Parti Gerakan Rakyat Malaysia didaftarakan pada 1968 dan sejak itu sentiasa dikenali ramai dengan singkatan Gerakan.
"Aduan ini menunjukkan rasa tidak puas hati ahli Gerakan terhadap GHB," katanya.

