DAP akan membuat laporan polis kepada beberapa agensi kerajaan berhubung dakwaan "konspirasi" untuk menjatuhkan pembangkang susulan tindakan kerajaan menyekat sesetengah ahli parlimen ke luar dari negara ini.

"Saya akan membuat laporan polis terhadap Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan pihak polis kerana menyalahgunakan kuasa dan mempunyai konspirasi untuk menjatuhkan pembangkang," kata MP Segambut Lim Lip Eng pada sidang medianya hari ini.

Menurutnya, laporan polis dibuat kerana kerajaan mengambil kenyataan daripada seorang bekas wartawan yang didakwa bankrap, Lester Melanyi dan disusuli dengan tindakan menghalang ahli parlimen pembangkang Tony Pua meninggalkan negara ini.

"Saya juga akan membuat laporan polis terhadap Lester," kata Lim sambil menambah Pua tidak akan mendapat sebarang pampasan sekipun jika beliau menang dalam hasratnya menyaman Lester kerana memfitnah.

Sementara itu, Setiausaha Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo pula memberi amaran kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya tidak bermain-main dengan pihak pembangkang.

Gobind merujuk kenyataan Khalid sebelum ini yang mengatakan bahawa polis telah mengenalpasti pemimpin pembangkang yang bertemu dengan warganegara Switzerland, Xavier Andre Justo.

"Berhenti bermain-main. Anda kata sebelum ini ada ahli parlimen pembangkang yang telah dikenalpasti. Dan anda kata ada kemungkinan bahawa pihak polis akan menyoal mereka.

"Sekarang, beritahu kami siapa ahli parlimen itu? Adakah Tony Pua atau ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli?

"Saya juga ingin bertanya kepada ketua polis negara, di mana beliau mendapatkan maklumat ini dan di mana buktinya sedangkan hakikatnya pihak polis masih belum menyoal Justo," kata Gobind.

[Baca berita asal]