Shafee menang rayuan dakwaan salah laku
Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan denda RM5,000 yang diputuskan Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung salah laku profesion.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan Muhammad Shafee tidak melanggar Peraturan Publisiti Dalam Profesion Guaman 2001 ketika beliau membuat wawancara dengan sebuah organisas media.
Hakim itu berkata kenyataan Muhammad Shafee mesti dibaca secara objektif dan dalam konteks seluruh temu bual itu.
Beliau memerintahkan lembaga itu memulangkan RM5,000 yang dibayar kepada Tabung Tatatertib oleh Muhammad Shafee, 63.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Vernon Ong Lam Kiat sebulat suara membenarkan rayuan Muhammad Shafee untuk mengetepikan keputusan Lembaga Tatatertib.
Selepas keputusan itu, Muhammad Shafee memberitahu media keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini adalah keputusan yang betul yang sepatutnya dilakukan oleh Lembaga Tatatertib dan Jawatankuasa Disiplin.
"Saya gembira saya telah membersihkan nama saya," katanya dan menambah Lembaga Tatatertib dan Jawatankuasa Disiplin telah melakukan kesilapan dan tafsiran mereka mengenai peraturan itu adalah berat sebelah.
Pada 5 Okt 2012, Lembaga berkenaan mendenda Muhammad Shafee RM5,000 berikutan aduan yang dibuat presiden Majlis Peguam ketika itu K. Ragunath pada 23 Sept 2010 bahawa beliau melanggar Seksyen 94(3)(k) Akta Profesion Guaman.
Aduan itu berdasarkan temu bual Muhammad Shafee dengan The Star dan dua artikel bertajuk 'Counsel rests his case' dan 'Keeping within the letter of the law' yang tersiar dalam akhbar berbahasa Inggeris itu pada 27 Sept 2009.
Lembaga itu mengesahkan dapatan Jawatankuasa Disiplin bahawa Muhammad Shafee membuat publisiti tentang diri dan firma peguam caranya dengan cara yang melanggar Peraturan Publisiti Dalam Profesion Guaman 2001, Kaedah-kaedah Profesion Guaman (Amalan dan Etiket) 1978 dan 'Rules & Rulings of the Bar Council 2007'.
Pada 10 Jan 2014, Muhammad Shafee gagal dalam rayuannya selepas ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau kemudian merayu di Mahkamah Rayuan.
Peguam Arthur Wang mewakili Majlis Peguam manakala Muhammad Shafee mewakili dirinya sendiri.
-Bernama

