Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan tetap menulis tentang isu 1MDB walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat Sarawak Report.

"Saya tetap akan menulis (mengenai 1MDB)," kata bekas perdana menteri itu ketika ditemui pemberita di lobi sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai reaksinya terhadap kritikan yang dibuat kepada 1MDB selepas akses laman sesawang yang aktif membuat pendedahan mengenai agensi itu, Sarawak Report , disekat SKMM.

Sarawak Report telah disekat oleh SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 setelah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perjumpaan SKMM dengan pengarang portal berita semalam, Dr Mahathir berkata perkara tersebut membuktikan bahawa tapisan terhadap media memang wujud di negara ini.

"Ada tapisan terhadap media. Secara efektifnya, ada tapisan terhadap media," katanya ringkas.

Dalam perjumpaan dengan pengarang-pengarang portal berita semalam SKMM mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil terhadap sebarang pemberitaan palsu atau tidak tepat.

Malah, pengarang portal berita dalam talian juga hari ini diingatkan tidak memaparkan semula bahan daripada Sarawak Report yang telah disekat SKMM.

SKMM berkata tindakan menyebarkan semula laporan yang dibuat portal yang telah disekat itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan juga boleh diambil terhadap penyebaran maklumat palsu yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian sesebuah negara, terutamanya dari segi ekonomi dan keselamatan nasional.

Lihat Komen
ADS