Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: The Edge tak bermaruah
Diterbitkan:  Jul 24, 2015 4:37 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata The Edge kini tidak boleh mendabik dada sebagai akhbar yang bermaruah kerana terbukti menipu dalam mendapatkan maklumat untuk laporan 1MDB.

Apatah lagi, The Edge menipu sumber mereka untuk mendapatkan maklumat yang dicuri, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi.

“Jangan cuba cari jalan keluar dengan mendakwa (diri mereka) bermaruah. Encik Ho (Kay Tat) dan Encik Tong (Kooi Ong), ingatlah, tiada maruah di kalangan penjahat,” katanya yang menambah, beliau tidak hairan jika The Edge juga akan menipu rakyat Malaysia.

Katanya lagi, The Edge sepatutnya menerbitkan maklumat yang diperolehi itu sejak awal dan mengisytiharkan bagaimana mereka memperolehinya.

“Malangnya, The Edge tidak berbuat demikian. Mereka memperdaya rakyat Malaysia supaya percaya bahawa mereka mendapatkan maklumat itu dengan amanah melalui sumber yang dipercayai.

“Mereka memeram laporan itu selama beberapa bulan untuk kepentingan politik dan berharap tiada siapa tahu siapakah (bekas kakitangan PetroSaudi International, Xavier Andre) Justo.

“Sekarang, dalam keadaan terdesak, mereka berkata penerbitan maklumat yang dicuri dan yang diragui adalah perkara yang bermaruah,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian susulan pengakuan The Edge bahawa akhbar itu memperdaya Justo untuk mendapatkan dokumen berhubung 1MDB.

Justo kini ditahan di Thailand untuk siasatan berhubung tuduhan memeras ugut bekas majikannya dengan dokumen yang diperolehinya.

Beliau juga merupakan sumber yang mendedahkan dokumen dan  emel berkaitan.

Justo memberitahu Singapore Straits Times bahawa beliau tidak dibayar seperti yang dijanjikan dan beliau juga diberitahu mengenai rancangan untuk meminda dokumen berkenaan.

Tong menafikan dakwaan meminda dokumen tersebut dan juga tuduhan mengenai usaha menggulingkan kerajaan.

Lihat Komen
ADS