Tang, Loo dicari Bank Negara
Dua individu sedang dikesan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu siasatan isu 1MDB.
Dalam pos di Facebook, bank pusat itu berkata individu tersebut ialah bekas pengarah eksekutif 1MDB iaitu Casey Tang Keng Chee, 50, dan Jasmine Loo Ai Swan, 42.
Kata BNM siasatan kes itu dibuat mengikut Akta Pertukaran Wang 1953.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan di mana individu (tersebut) berada boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di 03-26988044 sambungan 8554 atau 7610, atau membuat laporan di balai polis berdekatan," kata kenyataan itu.
Laporan media sebelum ini menyatakan Tang adalah salah seorang pelopor kepada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) - sebuah agensi kerajaan negeri yang kemudian ditukar menjadi 1MDB.
Dia dikatakan terbabit dalam rancangan melanggan saham murabahah dalam kerjasama 1MDB dengan PetroSaudi International.
Pelaburan itu didakwa membabitkan nilai AS$500 juta.
Loo yang mempunyai latar pendidikan undang-undang mengambil alih tempat Tang selepas kontrak lelaki terbabit berakhir pada Mac 2011.
Sebelum itu Loo adalah Pengarah Eksekutif UBG iaitu syarikat yang pernah dimiliki Low Taek Jho - seorang lagi individu yang banyak dikaitkan dengan siasatan 1MDB.

