Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir bimbang Umno menjadi tidak relevan jika dicemari dengan sistem 'payung' atau naungan ( patronage ).

Berucap di majlis perasmian persidangan tahunan pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Cheras di Kuala Lumpur hari ini, Mukhriz berkata amalan memayungi pihak tertentu dalam parti itu bukan saja berlaku di peringkat atasan saja, malah terjadi di bawah.

"Kita kena faham bahwa ada sesetengah (orang) di luar sana menyatakan Umno ini sebuah parti mengamalkan patronage , maksudnya parti yang berteraskan kepada naungan.

"Di sinilah kita dituntut untuk fikirkan, apakah sebab kita berparti.

"Adakah kita berparti kerana nak bela nasib agama, bangsa dan tanah air seperti kita selalu laungkan dalam ucapan,  ataupun ada juga sifat-sifat naungan ini kerana kadangkala kita tak dapat elak ada ahli bertanya:  Kalau nak saya terlibat dalam Umno apa untungnya kepada saya," katanya.

Kata Mukhriz, apabila pemimpin Umno berasa tertekan dengan soalan begitu, kadang-kadang mereka mengambil tindakan sesuatu untuk mengekalkan kedudukan atau jawatan dalam parti.

Justeru, katanya, pemimpin Umno memikirkan bagaimana mereka boleh memayungi ahli bawahan dan bukannya memikirkan cara membela nasib rakyat.

Niat adalah penting

"Saya bimbang lama-lama, rakyat lihat parti kita tak relevan kerana kita hanya mementing diri sendiri.

"Jadi, kita kena betul-betul fahami dan jaga parti kita supaya tak dicemari dengan imej naungan ini," katanya.

Bagaimanapun Mukhriz mengakui semua parti ada unsur politik payung dan tidak terhad kepada Umno saja.

"Pihak pembangkang tentunya ada juga amalkan politik naungan. Ia tidak eksklusif untuk Umno saja. Semua parti ada naungan, baik DAP, PKR, PAS, Pasma atau siapa sekalipun," katanya di sidang media yang diadakan selepas majlis perasmian.

Walaupun begitu, Mukhriz berkata jika sistem 'payung' itu dijalankan untuk membantu pemimpin berkhidmat kepada rakyat, ia boleh diterima.

"Kalau niat kita adalah untuk membela nasib rakyat, (semua) sistem kita pakai asalkan ia berteras kebenaran, kita akan dapat sokongan daripada rakyat.

"Tetapi yang kita risau ialah kalau ada mana-mana pihak dalam Umno menggunakan sistem itu untuk menjaga kepentingan diri sendiri.

"Mereka hanya fikir diri sendiri, macam mana nak dapat jawatan,  macam mana nak perkayakan diri sendiri.

"Kalau macam itu kita buat dalam parti, maka hancurlah bukan saja parti tetapi masyarakat yang sepatutnya dibela," katanya.