Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umi Hafilda malu, umum keluar Umno
Diterbitkan:  Jul 28, 2015 7:49 PM
Dikemaskini: 11:53 AM
Saksi kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Umi Hafilda Ali hari ini mengumumkan keputusannya keluar dari parti Umno.

Memberi alasan "malu" Umi Hafilda berkata, tindakannya itu dibuat selepas melihat apa yang terjadi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri.

"Saya keluar dari Umno hari ini. Saya malu, saya malu menjadi ahli Umno," katanya ketika ditemui media di pekarangan kediaman Muhyiddin di Damansara petang ini.

Umi Hafilda adalah salah seorang saksi utama dalam perbicaraan membabitkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar pada 1998.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Muhyiddin diketepikan daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri.

Tempat beliau masing-masing digantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (menteri pendidikan).

Umi Hafilda sebelum ini adalah ahli Umno bagi bahagian Gombak.

Jiwa masih dengan Umno

Kata Umi Hafilda, di sebalik tindakannya keluar dari Umno, dia tetap bangga menjadi rakyat yang "berani menegakkan kebenaran".

"Saya juga minta rakyat di luar sana juga bangun (tegakkan kebenaran)," katanya.

Umi Hafilda yang juga adik Menteri Besar Selangor mendakwa, dia malu mengaku menjadi ahli Umno kerana apabila "kebenaran ditentang dengan cara yang kotor" - dipercayai merujuk kepada pengguguran Muhyiddin.

Muhyiddin adalah salah seorang anggota kabinet yang sering menimbulkan kenyataan mengenai cara kerajaan pimpinan Najib menangani isu 1MDB.

Mengulas apakah Muhyiddin juga akan keluar Umno, Umi Hafilda ( gambar ) berkata beliau tidak berhak untuk bercakap bagi pihak Timbalan Presiden Umno itu.

"Jiwa dia (Muhyiddin) masih dengan Umno, dia masih Timbalan Presiden Umno dan kalau orang jemput  dia masih akan hadir," ujarnya.

Umi Hafilda juga menegaskan bahawa Umno akan berkubur dengan pemecatan Muhyiddin hari ini.

"Bagi saya pemecatan Muhyiddin hari ini adalah tanda-tanda akan jatuhnya kepimpinan yang ada hari ini.

"Pemecatan Muhyiddin hari ini menunjukkan...maaf cakap, ini apa yang saya rasakan akan berkuburnya Umno selepas 16 tahun.

"Kalau kamu sebagai pemimpin tidak sensitif dengan apa yang berlaku dan tidak mendengar suara rakyat kamu akan hancur," tegasnya.

Ujar Umi Hafilda, jika suara "orang nombor dua negara" pun tidak didengar, bagaimana pula dengan keluhan rakyat.

Ditanya keadaan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Umi Hafilda berkata beliau begitu tenang dan reda dengan apa yang berlaku.

"Dalam mesyuarat tadi beliau kelihatan tenang dan beliau cakap dia dah buat yang terbaik, Muhyiddin juga sudah berjumpa dengan Najib dan meluahkan segala rasa hatinya," tambahnya.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS