Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri beri janji jalan tugas penuh amanah
Diterbitkan:  Jul 28, 2015 9:31 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Beberapa menteri baru dalam barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, berikrar menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Mereka ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Perkhidmatan mereka berkuat kuasa esok.

Turut dilantik sebagai menteri ialah Datuk Hamzah Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).

Dalam reaksinya, Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah, berkata beliau akan berusaha memastikan dasar-dasar di bawah kepimpinan perdana menteri Najib dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.

Menurutnya beliau akan mengambil pendekatan kerja berpasukan seperti yang diharapkan Najib supaya semua dasar dapat dilaksanakan secara berkesan seterusnya sampai kepada rakyat.

"Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada perdana menteri yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertai kabinet baru beliau," katanya yang dilantik sebagai menteri komunikasi dan multimedia.

Mahdzir pula mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri di atas kepercayaan beliau melantiknya menyandang jawatan menteri pendidikan.

Beliau yang juga bekas timbalan menteri tenaga, teknologi hijau dan air berkata jawatan itu merupakan amanah besar kerana sektor pendidikan merupakan tunjang untuk mencapai negara maju.

"(Saya) berazam memastikan sektor pendidikan di negara ini lebih ke hadapan dan berharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak dalam menjalankan tugas yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Mahdzir yang juga bekas menteri besar Kedah dan anggota Parlimen Padang Terap mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Azalina yang juga aj;o Parlimen Pengerang pula menyifatkan pelantikannya sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah sesuatu yang mengejutkan.

Katanya beliau mengetahui tentang pelantikannya itu menerusi radio.

"Saya terperanjat dengan berita itu tetapi berterima kasih kepada perdana menteri kerana memberi keyakinan kepada saya untuk menyertai barisan kabinet baharu ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azalina yang juga pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berharap pelantikannya itu dapat memberi kekuatan kepada barisan kabinet baru dan BN.

Sebelum ini, Azalina pernah berkhidmat sebagai menteri pelancongan dari 2008 hingga 2009 dan menteri belia dan sukan dari 2004 hingga 2008. 

Sementara itu, Tangau yang juga pemangku presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berkata beliau berterima kasih kepada perdana menteri kerana melantiknya sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi.

"Saya berterima kasih kepada perdana menteri di atas kepercayaan beliau terhadap saya dan UPKO. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota UPKO...saya perlukan sokongan penuh parti dalam melaksanakan tugas baru ini," kata anggoat Parlimen Tuaran itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkecimpung dalam politik sejak 1980-an dan pada 1999, beliau memenangi kerusi Parlimen Tuaran.

Wan Junaidi ketika dihubungi Bernama turut melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan beliau melantiknya sebagai menteri sumber asli dan alam sekitar.

"Harapan saya ialah untuk selesaikan isu-isu berkaitan alam sekitar termasuk pengurusan banjir dan saliran demi kesejahteraan rakyat negara ini. 

"Saya akan berbincang dengan agensi berkaitan mengenai perkara ini dan saya harap kami dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap," katanya yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Wan Junaidi yang juga anggota Parlimen Santubong mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri G Palanivel.

- Bernama

Lihat Komen
ADS