mk-logo
Berita
Presiden Umno ada akaun amanah parti bukan aneh

Peruntukan dalam perlembagaan Umno membenarkan presiden parti mempunyai akaun amanah bagi pihak parti, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata bukan saja Datuk Seri Najib Razak mempunyai akaun amanah bagi pihak Umno tetapi juga presiden-presiden Umno sebelum ini.

"Saya hendak memberitahu bahawa parti Umno mempunyai peruntukan dalam perlembagaan yang membenarkan presiden parti untuk mempunyai akaun amanah bagi pihak parti.

"Adalah tidak mustahil dan tidak memeranjatkan jika Presiden Umno (ketika ini) dan presiden-presiden (Umno terdahulu) mempunyai akaun amanah bagi pihak parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Kubang Pasu hari ini.

Derma daripada penyokong

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, berkata duit yang berada dalam akaun amanah di bawah nama Najib sebagai Presiden Umno itu bukan wang milik 1MDB atau duit rakyat.

     

Menurut Abdul Rahman duit 1MDB dimiliki oleh rakyat dan tidak boleh diberi kepada parti politik.

"Apa-apa derma diambil daripada dahulu hingga sekarang oleh Umno tidak ada kena-mengena dengan duit rakyat. Ia adalah derma daripada penyokong-penyokong parti. Jikalau dia ada duit dan hendak membantu parti, itu adalah hak individu dan bukan duit 1MDB," katanya.

Duit yang berada di dalam akaun amanah itu katanya, bukan datang daripada 1MDB sebagaimana yang cuba dikaitkan pihak pembangkang sebelum ini.

Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) juga katanya, tidak berani mengatakan duit di dalam akaun amanah itu milik 1MDB, menguatkan lagi dakwaan bahawa media antarabangsa itu mempunyai agenda terhadap negara ini.

Ditanya sekiranya terdapat keperluan untuk mendedahkan sumber duit RM2.6 bilion itu, Rahman berkata tidak ada undang-undang yang mewajibkan Umno, PAS, PKR dan lain-lain untuk menamakan penderma mereka.

"Mereka (parti politik) tidak diwajibkan undang-undang untuk menamakan penderma mereka, jadi mengapa pula harus diletakkan pada bahu Umno. Jikalau hendak buka (dedah penderma), tanya semua, tanya DAP siapa yang bagi duit pada mereka," katanya.

Menurut Abdul Rahman DAP dan parti pembangkang, perlu menjelaskan dakwaan mereka memperoleh pembiayaan politik daripada agensi negara Barat termasuk daripada penyangak mata wang George Soros dan National Endowment for Democracy (NED).

"Kami tahu mereka (pembangkang) mempunyai banyak duit sebab operasi pilihan raya mereka adalah jauh lebih canggih daripada Umno, percayalah," kata Abdul Rahman.

Tiada kena songlap

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan beliau tahu sumbangan politik yang diterima DAP daripada syarikat-syarikat perumahan tertentu.

Pada majlis itu, beliau juga menerangkan tidak ada pihak yang telah 'merompak atau songlap' duit 1MDB dan ini telah dibuktikan oleh laporan akaun syarikat yang telah pun diaudit oleh syarikat juruaudit bertauliah.

Abdul Rahman berkata 1MDB telah melabur sebanyak AS$1.9 bilion dalam syarikat PetroSaudi International (PSI) dan hasil daripada pelaburannya itu, syarikat negara memperoleh keuntungan AS$488 juta.

Beliau berkata jumlah pelaburan di dalam PSI serta keuntungan yang diperoleh oleh 1MDB katanya, turut disertakan di dalam kenyataan akaun syarikat negara yang telah diaudit.

"Saya tidak faham mengapa masih ada yang mengatakan duit 1MDB di dalam PSI itu hilang, sedangkan pelaburan yang dijana oleh 1MDB dalam PSI adalah amat menguntungkan," katanya.

Berkenaan dakwaan 'kehilangan' RM42 bilion, beliau menjelaskan 1MDB telah membuat pinjaman untuk membiayai perolehannya terhadap kira-kira 15 stesen janakuasa elektrik daripada syarikat-syarikat penjana tenaga bebas (IPP).

"Mula-mula mereka kata 1MDB hilang RM42 bilion, kemudian RM27 bilion, kemudian mengubahnya lagi kepada RM16 bilion dan kini RM3 bilion. Saya yakin dan ikhlas katakan tiada duit 1MDB yang telah dirompak atau disonglap," katanya.

Dengan aset kira-kira RM51 bilion yang jauh lebih tinggi daripada tanggungannya, syarikat 1MDB menurut beliau merupakan syarikat yang kukuh dan potensinya itu diakui oleh bank-bank yang memberikan pinjaman kepadanya.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini