Kes politik wang sedang disiasat: Radzi
Walaupun pemilihan pucuk pimpinan Umno sedah selesai, tetapi menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, masih terdapat kes-kes berhubung dakwaan politik wang yang masih dalam siasatan parti.
Walaupun pemilihan pucuk pimpinan Umno sedah selesai, tetapi menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, masih terdapat kes-kes berhubung dakwaan politik wang yang masih dalam siasatan parti.
Katanya, lebih banyak tindakan boleh diambil terhadap mereka yang terlibat dalam politik wang sekiranya lebih ramai ahli tampil dengan bukti kukuh mengenai kes-kes yang dilaporkan kepada Umno.
"Jadi ia memang ada (mekanisme untuk perangi politik wang di kalangan ahli), hanya orang yang tak datang ke hadapan. Kalau ramai ke hadapan bagi maklumat, kita boleh ambil banyak lagi tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Agensi Anti Rasuah Kedua di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut
Bernama
, Radzi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata memandangkan kes-kes itu melibatkan ahli Umno, maka tindakan yang diambil sememangnya berbentuk dalaman.
Lembaga Disiplin sendiri telah banyak kali bertindak proaktif dalam mengambil tindakan tegas seperti menggantung keanggotaan ahli dan pemimpin Umno, katanya.
Dakwaan politik wang mencapai kemuncaknya di saat-saat akhir kempen bagi jawatan Naib Presiden dan MT selepas pucuk pimpinan parti memberi kelonggaran kepada calon-calon menemui perwakilan serta mengadakan jamuan untuk mereka.
Laporan
Sebelum ini, calon-calon yang bertanding dilarang sama sekali berbuat bagi mengelak berlakunya politik wang.
Selain itu, ibu pejabat Umno sendiri telah melantik ejen-ejen perisik untuk mengesan calon-calon atau penyokong mereka yang terbabit dalam politik wang, untuk dilaporkan kepada Lembag Disiplin Umno diambil tindakan.
Sementara itu, Bernama juga melaporkan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perubahan terhadap peraturan politik wang dan penyalahgunaan kuasa dalam parti, akan hanya dilaksanakan dalam pemilihan Umno akan datang.
Oleh itu, katanya, sebarang kesalahan melanggar peraturan parti dalam pemilihan Umno lalu, terpaksa dirujuk kepada kaedah sedia ada.
Najib yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno memberitahu pemberita selepas melancarkan Konvensyen dan Sekretariat Ar-Rahnu Serantau, serta lamanweb sekretariat itu di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mencadangkan Umno membentuk pasukan pendakwa bagi membantu lembaga itu membanteras politik wang kerana laporan yang diterimanya tidak lengkap untuk diambil tindakan.
Tindakan
Menurut Najib, jawatankuasa pengurusan ada menerima cadangan daripada Tengku Ahmad Rithauddeen berikutan laporan yang dikemukakan kepada lembaga berkenaan tidak mempunyai bukti yang cukup mengenai politik wang dan penyalahgunaan kuasa.
"Tengku Ahmad Rithauddeen merasakan bukti yang dikemukakan terlalu umum, dan tidak boleh digunakan untuk mensabit kesalahan ke atas mereka yang didakwa terlibat dengan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.
"Ini menyukarkan kerja Lembaga Disiplin dan lembaga itu ditohmah sebagai tidak efektif dan sebagainya. Mereka sebenarnya memerlukan bukti yang sah dan nyata," katanya.
Menurut Najib lagi, Umno sanggup mengkaji sebarang cadangan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak dan pemimpin untuk memastikan keberkesanan usaha parti memerangi politik wang dan salahguna kuasa.
Bagaimanapun kesemua cadangan itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) Umno yang merupakan badan pemutus dalam sebarang perkara yang hendak dilakukan parti, katanya.
Sehingga ini lembaga tersebut telah mengambil tindakan terhadap lebih 22 pemimpin dan ahli Umno yang didapati terbabit dalam politik wang serta melanggar peraturan berhubung pemilihan parti.

