1MDB sambut baik penjelasan SPRM
1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyambut baik kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa tiada dana dari 1MDB dipindahkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kami sentiasa mempertahankan bahawa syarikat tidak pernah menyediakan dana untuk perdana menteri seperti dalam kenyataan media kami pada 3 Julai, 2015, dan kami yakin kebenaran akan terserlah," kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda dalam satu kenyataan hari ini.
SPRM dalam kenyataannya semalam mengumumkan hasil siasatannya mendapati RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri adalah dari penderma dan bukan daripada 1MDB.
Arul menyelar tindakan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli yang terus menerus dengan dakwaannya mengenai 1MDB walaupun SPRM telah mengeluarkan kenyataannya.
Beliau menyifatkan Rafizi sebagai benar-benar tidak bertanggungjawab dan tindakan itu sengaja untuk memburuk-burukkan syarikat itu.
"Ini dilakukan walaupun pada 3 Jun, 2015, 1MDB menyiarkan penyata perbelanjaan hutang RM42 bilion, maklumat terperinci dalam akaun 1MDB dari 31 Mac 2010 hingga 31 Mac 2015, yang telah diaudit dan boleh diperoleh oleh orang ramai.
- Bernama

