Wakil rakyat pembangkang tampil sokong SPRM

       

Seramai kira-kira 10 orang wakil rakyat daripada pembangkang hari ini mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menunjukkan sokongan terhadap suruhanjaya itu.

Antara wakil rakyat yang hadir ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Turut hadir ialah Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu dan MP Pandan, Rafizi Ramli.

Kesemua wakil rakyat itu kemudian mengadakan  pertemuan selama kira-kira 30 minit dengan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob.

Sementara itu, sidang media selepas pertemuan itu, Wan Azizah meminta seluruh rakyat Malaysia turut memberikan sokongan kepada badan pencegahan rasuah itu.

"Kita ada undang-undang untuk memelihara SPRM itu dan kita sebagai rakyat Malaysia mestilah memelihara dan memperkukuhkan undang-undang," kata Presiden PKR itu.

Bagi Lim pula, sokongan terhadap SPRM perlu diberikan bagi memastikan badan tersebut dapat terus menjalankan siasatan terhadap isu skandal kewangan 1MDB.

Katanya, beliau juga berharap supaya hasil siasatan berhubung 1MDB akan dapat mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap keseriusan badan tersebut untuk memerangi rasuah.

"Kita sangat prihatin dengan apa yang berlaku.  Kita datang beri sokongan kuat kepada SPRM untuk mereka jalankan tugas anti rasuah.

"Kita berharap dalam kes (1MDB) ini akan dapat keputusan yang boleh beri keyakinan pada orang ramai bahawa kita serius dan ikhlas dalam hapuskan rasuah," kata pemimpin DAP itu.

Sementara itu, Mohamad pula berkata, pihaknya menyokong tindakan SPRM untuk menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Mohamad juga mencadangkan supaya Najib bercuti bagi memastikan siasatan yang dilakukan berhubung skandal kewangan itu lebih telus.

"Kami datang beri sokongan supaya SPRM betul-betul menjadi badan yang berwibawa termasuk menyiasat orang yang paling tinggi dalam Malaysia.

"Sebab itulah kami minta agar satu siasatan dijalankan dengan baik dan tidak ada gangguan. Perdana menteri sepatutnya bercuti semasa siasatan ini supaya lebih telus," kata Mohamad atau dikenali Mat Sabu.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda