PM: Ikut hasutan, peneroka terlepas peluang
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta pemilik saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) supaya tidak terpengaruh dengan hasutan penentang cadangan pembelian saham syarikat Indonesia PT Eagle High Plantation.
Menurut Najib, pemilik saham FGV perlu bersikap waras dan rasional dalam menentukan keputusan berhubung pembelian saham tersebut bagi memastikan peluang keemasan itu tidak terlepas.
"Saya serah pada komuniti Felda dalam mesyuarat agung FGV dan pemilik saham FGV untuk buat kata putus dalam hal ini.
"Apa yang perlu kita fikirkan ialah secara waras dan rasional. Jangan terbawa hasutan dari mana-mana pihak sehingga yang baik jadi tidak baik. Yang hak jadi batil.
"Kerana kalau salah buat keputusan dan pertimbangan, kita boleh terlepas peluang keemasan yang mungkin sukar diperoleh pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis rumah terbuka warga Felda di Putrajaya hari ini.
Pada 12 Jun lalu, FGV mengumumkan akan memperuntukkan AS$680 juta untuk membeli 37 peratus saham PT Eagle High, syarikat perladangan sawit ketiga terbesar Indonesia, yang dikuasai Kumpulan Rajawali Capital.
Ia didakwa merupakan satu pelaburan untuk jangka masa panjang.
Selain itu, perdana menteri berkata, sekiranya usahasama yang dilakukan antara FGV dan Eagle High berhasil, maka masyarakat Felda akan turut mengaut keuntungan yang besar.
"Sebab itu pada masa ini kita menimbang usahasama antara FGV dan Eagle High yang kita sedang buat pertimbangan terperinci.
"Saya yakin, kalau dapat formula yang saling untung antara satu sama lain, maka FGV dan masyarakat Felda boleh mengaut keuntungan yang besar," kata Najib bagi.
Justeru, ahli parlimen Pekan itu berharap, sekiranya seluruh warga Felda terhutang budi dengan kerajaan, beliau meminta supaya pembelian saham itu dapat diteruskan demi "mempertahankan" kejayaan Felda.
"Kalau kita dah rasai budi Felda dan kerajaan, maka wajib kita untuk pertahankan kejayaan Felda supaya kejayaan ini akan berterusan dan ramai lagi anak, cucu Felda berjaya pada masa akan datang," kata Najib disambut tepukan hadirin.

